Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – “Sindrom kebergantungan (dependency syndrome) dalam pelaksanaan pembasmian kemiskinan tidak membantu memerdekakan golongan miskin dari segi ekonomi malah menjadikan mereka terus kekal bergantung pada penguasa yang mengambil kesempatan atas kelangsungan faedah politiknya,” ujar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya dalam Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan: Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Oleh itu, suatu keupayaan diberikan oleh kerajaan menerusi program-program yang diperkenalkan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk memberikan ruang kepada mereka untuk bekerja dan suatu petanda kejayaan jika mereka dapat membebaskan diri daripada kancah kemiskinan dan tidak lagi bergantung kepada pemerintah.
Kata beliau,
Dalam keadaan negara memacu pertumbuhan, bicarakan soal kekuatan ekonomi dan kekuatan ringgit, kadang-kadang kita alpa tentang maksud pembangunan dan keutuhan negara itu harus melibatkan seluruh rakyat kerana ada rakyat yang tentunya ketinggalan kerana tidak mempunyai peluang.
Ikhtiar yang dibuat oleh Kementerian Ekonomi untuk menfokuskan soal kemiskinan dengan mengundang semua pihak seperti penjawat awam, masyarakat awam dan pakar-pakar ekonomi sangat wajar kerana kebanyakan kegiatan dan seminar simposium ekonomi kurang membicarakan permasalahan rakyat miskin secara serius.
Tambah beliau, inisiatif Kementerian Ekonomi menerusi simposium tersebut bukan perkara baharu dan peri penting untuk dibincangkan adalah keberkesanan serta keperluan menjadikan soal pembasmian kemiskinan sebagai suatu imperatif ekonomi dan moral.
Justeru, peristiwa Baling yang tercetus selepas tiga tahun Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971 menjadi kejutan menyedarkan golongan elit penguasa, ekonomi, penjawat awam, masyarakat awam dan peniaga bahawa sebarang dasar yang diputuskan mesti menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi walaupun disambut baik oleh rakyat pada awalnya.

Selain itu, merit dalam pendidikan dan ekonomi merupakan perkara penting tetapi ada batasnya kerana terdapat beberapa pertimbangan yang harus diberikan seperti keadilan sosial supaya berlaku kesaksamaan dan tidak menguntungkan golongan kaya semata-mata.
Beliau turut menegaskan langkah memerangi rasuah dan penyelewengan tidak boleh dipandang remeh kerana penyalahgunaan dana agensi untuk menguruskan golongan rentan dan miskin semakin menjadi budaya akibat peruntukan kepada jabatan dan agensi dibelanjakan setiap kali ada acara di luar negara.
Kalau negara ini memaknakan kemerdekaan, kebebasan dan keadilan, harus ada usaha berterusan untuk meningkatkan kemudahan, keupayaan dan mutu dengan memastikan dana diagihkan dengan sebaiknya.

Penganjuran simposium tersebut bertemakan “Bersama, Berdaya, Mampan” oleh Kementerian Ekonomi merupakan wacana bagi membantu kerajaan untuk menetapkan hala tuju baharu, merangka strategi serta menggembleng usaha dan tenaga semua pihak berkepentingan untuk menoktahkan kemiskinan secara mampan dan berkesan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul; Menteri Ekonomi, YB Tuan Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.