Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Karnival Usahawan Belia Merdeka (KUBM) pada 5 dan 6 September 2024 dengan memfokuskan keterampilan bahasa Melayu dalam aktiviti jual beli dalam kalangan mahasiswa.
Karnival anjuran Divisyen Bahasa Melayu (DBM), Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Prauniversiti (CELPAD) ini bertemakan “Usahawan Belia: Aspirasi Bahasa dan Merdeka” dan melibatkan penyertaan lebih daripada 130 orang mahasiswa yang menekuni kursus LMBD 2203 Bahasa Melayu Kerjaya (Perniagaan) dan sebanyak 600 orang warga UIAM.

Terdapat 23 buah reruai dibuka di perkarangan CELPAD, UIAM oleh pelajar kursus LMBD 2203 dan mereka diberikan peluang untuk menjual dan mempromosikan produk jenama sendiri yang terdiri daripada makanan, minuman, perkhidmatan, aksesori dan pakaian.
Melalui kegiatan tersebut, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan teori perniagaan yang dipelajari semata-mata, bahkan dapat mengaplikasikan ilmu bahasa Melayu dalam perniagaan dan mengalami sendiri proses perancangan perniagaan bersama-sama rakan sekumpulan.
Pensyarah kursus tersebut, Encik Mohd Senu Awang berpendapat bahawa karnival ini dapat memberikan pendedahan terbaik tentang “minda mencipta pekerjaan” buat pelajar bagi mencipta pekerjaan sendiri.
Tambah beliau,
Apabila tamat pengajian, akan ada dua kelompok pelajar, iaitu pelajar yang mencari pekerjaan (bekerja makan gaji) dan pelajar yang bekerja sendiri, iaitu mencipta pekerjaan (melibatkan diri dalam keusahawanan).
Sementara itu, Encik Mohd Fauzan Mat Jam Jam, Ketua DBM memaklumkan bahawa KUBM merupakan satu daripada usaha untuk mencapai Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pengajian Tinggi (2023-2030), selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2021-2025.
Ujar beliau, KUBM merupakan satu usaha untuk meyakinkan pelajar bahawa penguasaan kemahiran komunikasi bahasa Melayu merupakan aspek penting dalam semua bidang, terutamanya bidang keusahawanan dan perniagaan.
Ketika ditemu bual, Muhammad Musa Ali Babdar, iaitu mahasiswa dalam jurusan Perakaunan yang juga merupakan Pengarah Karnival menyatakan keterujaan terhadap KUBM yang memberikan pengalaman yang manis kepada dirinya serta rakan-rakan yang lain untuk mempromosikan produk jenama sendiri.
KUBM telah berjaya membentuk nilai keusahawanan, meningkatkan keterampilan berbahasa Melayu dan mengasah kemahiran kerjasama berpasukan.
Selain aktiviti keusahawanan, pelajar kursus LMBD 2203 juga terlibat dengan Pertandingan Kumpulan Terbaik Pembentangan Rancangan Perniagaan. Dalam pertandingan tersebut, setiap kumpulan dinilai dalam aspek penggunaan bahasa, produk dan inovasi serta perancangan perniagaan yang menyerlah.

Para pemenang telah membawa pulang hadiah seperti hamper dan sijil berserta buku dan majalah tajaan daripada rakan kerjasama, iaitu Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP.

Sementelahan, terdapat juga Pertandingan Reruai Terbaik serta Anugerah Usahawan Belia Merdeka dengan pelbagai kategori seperti Anugerah Daya Teraju, Anugerah Daya Saing, Anugerah Daya Tahan dan Anugerah Reruai Pilihan Pengguna.
Majlis Perasmian Penutupan KUBM yang diadakan pada 6 September 2024 telah disempurnakan oleh Pengarah CELPAD, Profesor Madya Dr. Faridah Abdul Malik, dan turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM, Dr. Nik Hziman Nik Mat.

Dalam majlis perasmian penutupan tersebut juga, tazkirah keagamaan tentang kepentingan menjaga keberkatan urusan tangan dan ilmu komunikasi dalam perniagaan yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim, iaitu Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat, CELPAD.
Untuk rekod, KUBM merupakan sebuah karnival yang memberikan manfaat kepada mahasiswa yang menekuni kursus LMBD 2203 Bahasa Melayu Kerjaya (Perniagaan).
****
Akhmal Hakim bin Mohamad merupakan pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dalam Divisyen Bahasa Melayu, Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Prauniversiti (CELPAD).