Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Hampir 200 000 pemilik kenderaan diesel jenis jip dan pikap kini menikmati tambahan kuota sebanyak 100 liter diesel bersubsidi sebulan di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).
Penambahbaikan yang diumumkan oleh Kerajaan MADANI itu meningkatkan jumlah kelayakan penerima daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bermula Julai 2026.
Inisiatif tersebut disediakan dengan mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik jip dan pikap, khususnya bagi tujuan perniagaan kecil dan sederhana, serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehingga 4 Julai 2026, hampir 200 000 permohonan tambahan kuota telah diluluskan yang melibatkan lebih daripada 174 000 penerima di Semenanjung Malaysia, serta lebih daripada 22 000 penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami bahawa pemilik jip dan pikap diesel bukan sahaja menggunakan kenderaan tersebut untuk urusan harian, malah sebagai aset penting dalam menjalankan perniagaan dan mencari rezeki. Oleh itu, penambahan kuota sebanyak 100 liter diharapkan dapat membantu mereka mengurus penggunaan diesel bulanan dengan lebih baik.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan mengambil kira maklum balas berkaitan dengan penggunaan kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama ahli keluarga terdekat atau rekod pemilikan yang masih belum dikemas kini.
Sehubungan dengan itu, penerima asal BUDI Diesel kini dibenarkan memohon pemindahan kelayakan kepada kenderaan diesel persendirian milik ahli keluarga terdekat melalui portal rasmi BUDI MADANI tertakluk pada syarat dan pengesahan yang ditetapkan.
Sebagai alternatif, pengguna sebenar juga boleh mengemas kini rekod pemilikan kenderaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagi memudahkan urusan tersebut, kerajaan melaksanakan pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
Menurut beliau, penambahbaikan itu membuktikan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan ditambah baik berdasarkan maklum balas rakyat bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang benar-benar layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan.
Setakat 4 Julai 2026, lebih daripada 2000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima melalui portal BUDI MADANI. Portal tersebut turut menyediakan pelbagai maklumat dan soalan lazim bagi membantu orang ramai memahami pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Bagi tempoh pelaksanaan akses awal BUDI Diesel bermula 27 Jun hingga 4 Julai 2026, sebanyak lebih daripada 336 000 transaksi pembelian diesel bersubsidi telah direkodkan yang melibatkan penggunaan sebanyak 12.6 juta liter diesel.
Dalam tempoh tersebut, Kerajaan MADANI menanggung subsidi melebihi RM23 juta. Pembelian tersebut merangkumi diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter sepanjang tempoh akses awal dan RM2.10 seliter selepas pelaksanaan penuh BUDI Diesel bermula 1 Julai 2026.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata, subsidi bersasar merupakan pendekatan kerajaan bagi memastikan bantuan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang benar-benar layak. Pada masa yang sama, langkah penyasaran subsidi penting untuk menjamin bekalan diesel bersubsidi dalam pasaran, serta mengelakkan penyalahgunaan dan ketirisan.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan mengurangkan bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar. Pendekatan itu juga dapat mengekang ketirisan dan penyeludupan yang telah mengakibatkan negara menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan meneliti maklum balas daripada rakyat dan pihak industri bagi memastikan manfaat subsidi disalurkan kepada golongan yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan dapat terus dibendung.