Diterbitkan pada 4 Jun 2024, 19:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam  Karnival myAgroprenur (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) dianjurkan sebagai platform membantu usahawan mengembangkan dan mempromosikan pasaran produk tempatan terus kepada masyarakat.

Menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), karnival myAP dan myKP Zon Utara 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula pada 1 Jun 2024 hingga 2 Jun 2024 telah mengumpulkan 18 usahawan dari tiga buah negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Karnival ini dimeriahkan dengan pameran, promosi dan jualan produk perikanan, uji rasa dan pertandingan hidangan laktut, klinik enjin sangkut, aneka kuiz interaktif serta sesi sembang santai bersama-sama DOF,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Program Rasa-Rasa Akuakultur turut diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian karnival bagi mempromosikan produk akuakultur, iaitu dua spesies tumpuan baharu, iaitu laktut dan ikan susu.

Pengunjung yang hadir berpeluang melihat, merasa dan menikmati produk berasaskan akuakultur, sekaligus mampu merangsang permintaan pasaran dan penggunaan produk.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Adnan Hussain dalam kenyataan yang sama berkata, tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Perlis dan Kedah telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM756,800 bagi tujuan memperkasakan tahap keusahawanan dan kemahiran teknikal di setiap negeri.

“Hingga tahun 2024, DOF telah berjaya membangunkan 91 projek Program myAP dan myKP di Zon Utara, iaitu 24 projek di Pulau Pinang, 51 di Kedah dan 16 di Perlis dan keseluruhan projek ini telah menyumbang kepada nilai ekonomi berjumlah RM22 juta setahun,” katanya,

Tambah beliau, produk perikanan utama di negeri utara ialah ikan pekasam dan keropok lekor dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM4.7 juta bersamaan 21 peratus.

Pada majlis yang sama, Dato’ Adnan menyampaikan Sijil Ketua Jaringan Perikanan (KJP) kepada tiga wakil KJP negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan menyampaikan cek cura bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SpeKS) pengembangan dan akuakultur dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM829,310 kepada tiga buah negeri tersebut.

Beliau turut menyerahkan cek cura bantuan Program Bantuan Integrasi Akuakultur (PPIA) bernilai RM1.08 juta kepada penternak akuakultur Pulau Pinang.

Beliau turut meluangkan masa melawat 17 reruai dan menyantuni usahawan yang mengambil bahagian dalam karnival ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Puan Khazlita Adzim Abdol Aziz dan Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Cik Zarina Zainuddin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi