Diterbitkan pada 9 Jun 2024, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan PETRONAS telah menganjurkan majlis pelancaran Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) 2024 dengan tema, iaitu “Memacu Masa Depan Tenaga”, semalam.

Menurut DOSM, banci OGSE yang julung-julung kalinya diadakan bertujuan mengukur prestasi sektor OGSE, serta menetapkan petanda aras baharu untuk statistik OGSE di Malaysia, selaras dengan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan (OGSE Blueprint) 2021-2030.

“OGSE Blueprint telah dilancarkan pada bulan April 2021 di bawah Kementerian Eknomi dan dipantau oleh MPRC, yang telah dirangka bagi membangunkan sektor OFSE Malaysia yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global, seterusnya menyumbang kepada pembangunan tenaga yang lestari,” kata DOSM dalam satu kenyataan semalam.

DOSM berkata, Banci OGSE 2024 meliputi sebanyak 3,852 pertubuhan di Malaysia yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan dan bekalan peralatan kepada syarikat yang menceburi aktiviti huluan minyak dan gas.

Tambahnya, maklumat yang dikumpulkan daripada banci ini termasuklah aktiviti teras OGSE, pekerjaan, pendapatan, perbelanjaan, harta tetap, eksport dan parameter ekonomi lain.

Katanya lagi, sesuai dengan komitmen kerajaan untuk menyokong agenda Net-Zero seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Banci OGSE turut memasukkan seksyen indikator alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menilai peralihan sektor OGSE dan memastikan ketersediaan untuk rendah karbon pada masa hadapan.

DOSM memaklumkan bahawa Banci OGSE 2024 akan dijalankan melalui temuduga bersemuka oleh pegawai DOSM Negeri dan akan dilaksanakan mulai 6 Jun 2024 hingga 30 September 2024.

“Maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini selaras di bawah Peruntukan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) yang mana maklumat organisasi atau individu yang diterima adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi di luar jabatan ini,” jelasnya.

Menurut DOSM, pihaknya dan MPRC amat menghargai kerjasama responden yang terpilih dalam banci ini bagi membekalkan maklumat dalam memastikan kejayaan banci ini.

Majlis Pelancaran Banci OGSE 2024 telah dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi