Diterbitkan pada 23 Mei 2024, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Lebih 3,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan menerusi pelaksanaan projek pembangunan pusat komersial Sungai Petani hasil kerjasama  Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan TG (Thong Guan) Development Sdn Bhd.

Anita Salleh, Ketua Pegawai Operasi PKNK menyatakan bahawa pusat komersial tersebut direka dengan menggabungkan tiga komponen utama, iaitu perniagaan, hospitaliti, serta kedai makanan dan minuman.

“Sebanyak RM200 juta nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek ini dan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran awal The Court Business Centre di sini hari ini.

Projek tersebut juga akan dibangunkan di atas tanah seluas 8.1 hektar yang dimiliki oleh PKNK dan akan menjadi pemacu penting dalam memajukan ekonomi negeri Kedah.

Menurutnya, projek ini akan menjadi tambahan kepada pembangunan di Bandar Amanjaya di sini dengan menyediakan ruang perniagaan yang akan memberikan sokongan kepada persekitaran yang berdaya hidup.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

PKNK telah memulakan usaha untuk memacu pembangunan di Kedah sejak tahun 1985 dan hingga kini, agensi tersebut telah mengembangkan sembilan kawasan perindustrian dengan luas kawasan melebihi 4,046 hektar.

“Pembangunan teknikal akan bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijangka akan sepenuhnya selesai pada suku ketiga 2029. Kerjasama ini menunjukkan bahawa segala sumber yang ada dapat digabungkan untuk menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan ekonomi di Kedah,” ucapnya.

Pengarah TG Development, Alvin Ang,menyatakan bahawa melalui projek ini sejumlah 221 lot kedai dan pejabat akan dibangunkan dalam empat fasa yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Fasa pertama akan melibatkan pembangunan 63 unit kedai dan pejabat, dijangka siap dalam tempoh 18 bulan hingga dua tahun, diikuti dengan tiga fasa seterusnya.

“Kawasan pembangunan sangat strategik dan saya berharap akan dapat menjana limpahan ekonomi kepada penduduk kawasan sekitarnya,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi