Diterbitkan pada 8 Februari 2024, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa jumlah hasil keseluruhan sektor perkhidmatan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM2.3 trilion, iaitu meningkat 8.4 peratus daripada RM2.1 trilion pada tahun 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa prestasi tersebut disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; serta maklumat dan komunikasi masing-masing meningkat sebanyak 7.7 peratus (+RM119.1 bilion); 15.8 peratus (+RM20.4 bilion); dan 5.3 peratus (+RM8.6 bilion) berbanding dengan angka pada tahun 2022. Namun begitu, terdapat beberapa subsektor yang masih belum melepasi nilai hasil sebelum pandemik, iaitu makanan dan minuman (-1.4 peratus); kesenian, hiburan dan rekreasi (-24.4 peratus); serta perkhidmatan persendirian dan aktiviti lain (-23.9 peratus).

Hal ini berikutan terdapat beberapa aktiviti berkaitan dengan industri pelancongan yang masih dalam fasa pemulihan selepas pembukaan sempadan antarabangsa bermula 1 April 2022 dan belum melepasi paras prapandemik. Nilai keseluruhan pendapatan e-dagang pada tahun 2023 pula meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM1.2 trilion daripada angka pada tahun sebelumnya. Pendapatan e-dagang mencatatkan nilai sebanyak RM291.9 bilion, iaitu meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat bagi tahun 2023. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.8 peratus.

Indeks volum perkhidmatan meningkat sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan 148.5 mata pada suku keempat tahun 2023. Angka itu sekali gus menjadikan prestasi tahunan bagi tahun 2023 meningkat sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan tahun 2022. Indeks itu naik sebanyak 0.6 peratus bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun. Prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku tahun ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun lepas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi