Diterbitkan pada 29 Januari 2024, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dapatan dan cadangan untuk menambah baik kedudukan Bumiputera perlu diusulkan kepada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 bagi membolehkannya dijadikan panduan oleh kerajaan dalam merangka dasar baharu.

Saranan itu dicadangkan oleh Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian yang berpendapat bahawa hala tuju sesuatu dasar akan lebih terangkum sekiranya dapatan dan cadangan daripada Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) Aspirasi Simposium diambil kira.

Selain itu, Felo Kanan Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS), Dr. Lee Hwok Aun pula menyatakan bahawa dapatan kajian daripada TERAJU boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan sebelum merangka program pembangunan Bumiputera dan sesuai dengan golongan sasar. Beliau juga mencadangkan agar lebih banyak kajian dilaksanakan oleh TERAJU dan dapatan daripada kajian tersebut boleh digunakan untuk memberikan saranan kepada agensi berkaitan dengan Bumiputera yang lain termasuklah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Nasional Berhad (PUNB).

Terdahulu, Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dalam ucapan perasmian simposium anjuran TERAJU yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Dirun menyatakan bahawa beliau mahukan dapatan sesi libat urus dan TERAJU Aspirasi Simposium dimanfaatkan sebagai persediaan bagi penganjuran KEB yang akan diadakan selama lima hari bermula 29 Februari ini.

Simposium yang bertemakan Bumiputera: Aspirasi dan Harapan Hari Depan anjuran TERAJU ini diadakan bagi menghimpunkan pelbagai idea dan pandangan demi membantu kerajaan dalam usaha merangka dasar baharu Bumiputera yang berimpak tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi