Diterbitkan pada 24 Januari 2024, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa program memfail borang nyata cukai keuntungan modal (BNCKM) telah dimuat naik di Portal Rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai bagi tujuan mengemukakan BNCKM mulai 1 Mac 2024. Dokumen tersebut boleh diakses dan dimuat turun mengikut panduan mudah seperti yang berikut:

i. Layari Portal Rasmi HASiL di www.hasil.gov.my
ii. Klik menu Borang > Program Memfail Borang Nyata CKM
iii. Atau menerusi capaian pantas di pautan berikut:

Versi Bahasa Malaysia:
https://www.hasil.gov.my/borang/program-memfail-borang-nyata-ckm/
Versi Bahasa Inggeris:
https://www.hasil.gov.my/en/forms/cgt-return-form-filing-programme/

Mulai 1 Januari 2024, syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi yang menerima laba atau keuntungan daripada pelupusan aset modal yang terdiri daripada dua perkara yang berikut adalah tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) di bawah ACP 1967.

i. Saham syarikat tidak tersenarai yang diperbadankan di Malaysia; atau

ii. Saham syarikat terkawal diperbadankan di luar Malaysia yang memiliki harta tanah yang terletak di Malaysia atau saham syarikat terkawal lain atau kedua – duanya di bawah seksyen 15C Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967)

Entiti Labuan (Syarikat Labuan, Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan, Yayasan dan Amanah Labuan) yang memilih atau tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah ACP 1967  juga tertakluk kepada pengenaan CKM. Pengemukaan BNCKM dan bayaran CKM hendaklah dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pelupusan aset modal.

Walau bagaimanapun, pelupusan aset modal tersebut bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024 adalah dikecualikan cukai dan tidak tertakluk pada pengemukaan BNCKM. Pelaporan CKM adalah mandatori melalui medium elektronik e-CKM. Pembayar cukai atau ejen cukai berlesen yang dilantik boleh mengakses e-CKM melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my.

Sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian serta komitmen bagi meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan, HASiL mewajibkan penggunaan e-Perkhidmatan bagi perkhidmatan yang telah disediakan secara dalam talian melalui gerbang perkhidmatan Portal MyTax mulai 1 Januari 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi