Diterbitkan pada 20 Januari 2024, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa prestasi perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tahun ketiga berturut-turut apabila mencecah RM2.64 trilion pada tahun 2023 walaupun berdepan landskap ekonomi global yang tidak menentu. Pencapaian itu juga mengekalkan trend lebihan dagangan untuk tahun ke-26 berturut-turut sejak tahun 1998 yang berjumlah RM214.1 bilion.

MITI menambah bahawa di sebalik lebihan itu, penurunan perdagangan tahun ke tahun sebanyak 7.3 peratus berbanding dengan tahun 2022 adalah sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi lebih rendah, ketegangan geopolitik berpanjangan, kadar inflasi tinggi, penyusutan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas tinggi yang direkodkan pada tahun lepas. Harga komoditi lebih rendah terus memberikan kesan terhadap prestasi perdagangan, khususnya minyak sawit mentah, petroleum mentah serta gas asli cecair (LNG). Ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika Syarikat (AS)-China, Rusia-Ukraine dan Timur Tengah turut menjejaskan ekonomi global dan mempengaruhi permintaan terhadap barangan eksport Malaysia, manakala inflasi global yang tinggi telah mengurangkan kuasa beli dalam kalangan pengguna di negara pengimport.

MITI  melaporkan bahawa eksport negara menguncup sebanyak 8.0 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.426 trilion pada tahun 2023 yang melebihi nilai RM1 trilion bagi tiga tahun berturut-turut dan mencapai 82.4 peratus daripada unjuran eksport pada 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Walaupun eksport keseluruhan negara susut, eksport negara bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik sebaliknya telah mencatat pertumbuhan yang positif.

MITI turut menambah jumlah import pada 2023 melepasi paras RM1 trilion untuk kali kedua dan susut sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.21 trilion berbanding dengan setahun lepas. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah masing-masing barangan pengantara bernilai RM620.87 bilion, barangan modal (RM128.83 bilion) dan barangan penggunaan (RM104.1 bilion) yang menyumbang 70.5 peratus daripada jumlah import. Rakan dagang utama Malaysia bagi tahun 2023 termasuklah negara ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mewakili 67.7 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia. Walaupun prestasi eksport lemah pada tahun 2023, kenaikan eksport ketara telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan.

Eksport ke beberapa pasaran perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut mencatat pertumbuhan terutamanya ke Korea Selatan, Australia, Mexico, Turkiye dan New Zealand meskipun eksport keseluruhan ke negara rakan dagang FTA menyusut. Di samping pemulihan perdagangan global, FTA khususnya Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka memperluaskan lagi prospek positif bagi perdagangan luar Malaysia. Pada masa sama, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut memberikan penekanan terhadap peningkatan dalam penggunaan FTA dalam kalangan pengeksport Malaysia.

Menurut MITI, kerajaan akan terus memperkasa aktiviti promosi perdagangan antarabangsa agar dapat memperkukuh daya tahan perniagaan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Hal ini akan turut disokong oleh inisiatif di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan NIMP 2030. Prestasi perdagangan Malaysia dijangka pulih pada tahun 2024 sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa jumlah perdagangan global berkembang sebanyak 3.3 peratus.

Pada tahun 2024, perdagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak 5.0 peratus manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat sebanyak 5.1 peratus dan 4.9 peratus sebagaimana menurut tinjauan ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi