Diterbitkan pada 19 Disember 2023, 23:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya membawa pulang RM6.6 bilion potensi pelaburan langsung asing (FDI) dan RM700 juta potensi eksport melalui misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun baru-baru ini.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kedua-dua misi ke negara matahari terbit itu telah memperoleh potensi pelaburan berjumlah RM29.6 bilion dan RM2.8 bilion potensi eksport tahun ini. Pengumuman itu mencerminkan hubungan kukuh, berpanjangan, dan hubungan yang saling menguntungkan antara Malaysia dengan Jepun dalam perdagangan dan pelaburan. Kebanyakan pelaburan baharu ini datang daripada sektor yang disasarkan, termasuk tenaga boleh baharu, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu kami (NIMP2030).

Beliau menegaskan bahawa MITI juga bertekad untuk memastikan pelaburan tersebut direalisasikan dengan segera. Hal ini membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji lebih baik buat rakyat Malaysia. Bagi mencapai tujuan itu, pelbagai pelaburan pada peringkat persekutuan dan negeri dipercepatkan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan (ITACC), dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan (ICCM).

Misi ini diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. MITI dan agensinya juga mengatur Mesyuarat Meja Bulat antara Perdana Menteri dengan 25 kapten industri Jepun, serta pertemuan secara bersemuka dengan ROHM Wako, NEC Corporation, dan Mitsui & Co Ltd. Turut diadakan pertemuan dengan Miyoshi Oil and Fat Co Ltd, Marubeni Corporation, Nichicon Corporation, dan Itochu Corporation.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi