Diterbitkan pada 20 Disember 2023, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa eksport Malaysia menurun sebanyak 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion pada November 2023 disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah untuk produk elektrik dan elektronik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa eksport domestik bernilai RM95.9 bilion yang menyumbang 78.5 peratus kepada jumlah eksport, turun 7.4 peratus. Eksport semula berjumlah RM26.2 bilion, berkembang sedikit sebanyak 0.1 peratus berbanding pada bulan November 2022, manakala import November 2023 melonjak sebanyak 1.7 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu, iaitu RM109.7 bilion. Tambah beliau, 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan sama tahun lepas.

Nilai eksport yang lebih rendah adalah disebabkan oleh penurunan eksport terutamanya ke Singapura (-RM3.7 bilion), diikuti oleh Jepun (-RM1.6 bilion), China (-RM1.6 bilion), Hong Kong (-RM1.2 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion). Sementara itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh Singapura (+RM2.4 bilion) diikuti Arab Saudi (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Thailand (+RM545.7 juta).

Kejatuhan eksport sejajar dengan kejatuhan produk elektrik dan elektronik (-RM7.3 bilion); kimia dan produk kimia (-RM1.1 bilion); dan kelengkapan pengangkutan (-RM1.0 bilion). Kenaikan import adalah daripada kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion) dan produk petroleum (+RM774.4 juta). Kenaikan itu sejajar dengan permintaan yang lebih tinggi untuk barangan modal dan barangan penggunaan.

Import barangan modal meningkat sebanyak 53.3 peratus kepada RM14.9 bilion berbanding November 2022 mewakili 13.6 peratus daripada jumlah import. Barangan penggunaan (8.9 peratus daripada jumlah import), meningkat 2.2 peratus kepada RM9.7 bilion daripada RM9.5 bilion setahun lalu manakala barangan pengantara (51.2 peratus daripada jumlah import) menyaksikan penurunan 5.2 peratus atau RM3 .1 bilion kepada RM56.2 bilion.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi