Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia mengekalkan lebihan dagangan bernilai RM12.41 bilion bagi November 2023 sekali gus menjadi lebihan dagangan yang ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Bagaimanapun, perdagangan Malaysia mencatatkan pengurangan sederhana sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM231.79 bilion dengan eksport susut 5.9 peratus untuk mencecah RM122.10 bilion manakala import mengembang 1.7 peratus kepada RM109.69 bilion. Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Taiwan, China dan Indonesia apabila masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada November 2023 serta pengurangan dalam import global.
MITI memaklumkan bahawa perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing turun sebanyak 3.1 peratus, 3.2 peratus, 3.1 peratus dan 3.8 peratus berbanding pada bulan Oktober 2023. Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan susut 7.5 peratus kepada RM2.413 trilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas apabila eksport kurang 7.8 peratus kepada RM1.308 trilion, import turun 7.1 peratus kepada RM1.105 trilion dan lebihan dagangan merosot 11.3 peratus kepada RM202.49 bilion.
Namun begitu, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan makanan diproses serta barangan besi dan keluli. MITI menjelaskan bahawa eksport hasil galian merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi tahun 2023 setakat ini berkembang 0.5 peratus tahun ke tahun kepada RM10.46 bilion. Hal ini merupakan pertumbuhan positif yang pertama dicatatkan setelah merekodkan penyusutan selama lima bulan berturut-turut dipacu oleh eksport yang kukuh bagi petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.
Eksport keluaran pertanian turun 5.5 peratus kepada RM8.39 bilion berbanding November 2022 disebabkan terutama oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penurunan harga eksport minyak sawit. Bagi November 2023, perdagangan dengan ASEAN mencatatkan pengurangan marginal 0.2 peratus tahun ke tahun, menyerap 27.3 peratus atau RM63.31 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia.