Diterbitkan pada 14 Disember 2023, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-43 yang berlangsung baru-baru ini memberi penekanan terhadap usaha untuk menarik pelabur terutama melalui penawaran iklim pelaburan yang lebih komprehensif dan kompetitif.

YAB Perdana Menteri,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah mempengerusikan Mesyuarat MPFN Ke-43 (Bil.3/2023) di Dewan Persidangan, Aras 1, Blok Timur, Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri yang turut dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Ekonomi, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakilnya bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), ekosistem sektor pembuatan yang berkaitan perlu dipertingkatkan termasuklah penyediaan kemudahan dan infrastruktur taman perindustrian yang kondusif bagi mencapai unjuran peningkatan nilai sektor pembuatan yang telah disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Menurut beliau,

Penyediaan taman perindustrian yang terancang (well-planned) dan terurus (well-managed) dengan memberikan penekanan terhadap elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penerimaan teknologi akan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Tambahnya, taman perindustrian terurus (MIP) yang mempunyai infrastruktur ESG tersedia ini akan menjadi game changer kepada penawaran ruang perindustrian di rantau ini. Pelabur kini lebih berminat dengan ketersediaan infrastruktur dan tawaran bantuan kepakaran yang membolehkan mereka untuk beroperasi dengan kadar segera (menerusi konsep Plug & Play) mengikut kesesuaian pelaburan mereka.

Menurut KPKT, mesyuarat ini juga telah mempertimbangkan sebanyak lima kertas kerja melibatkan empat kertas persetujuan, iaitu kertas cadangan pembangunan projek berkepentingan negara yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan bagi mendapatkan pertimbangan dan nasihat Majlis serta satu kertas pemakluman tentang Maklumat Guna Tanah Negara 2022.

Maklumat Guna Tanah Negara yang diterbitkan dua tahun sekali bagi melaporkan penggunaan tanah semasa serta trend perubahan guna tanah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang disediakan berdasarkan Sistem Maklumat Guna Tanah Perancangan Bersepadu (I-Plan) yang telah dibangunkan dan diguna pakai oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bermula tahun 2016.

“Berdasarkan Maklumat Guna Tanah, keluasan Semenanjung Malaysia ialah 13,175,441.40 hektar dan trend perubahan guna tanah tepu bina bagi tahun 2018 hingga tahun 2022 di Semenanjung Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan keluasan sebanyak 2.80 peratus bersamaan 34,658.39 hektar),” jelasnya.

Tambahnya, peningkatan kawasan tepu bina ini adalah berkaitan rapat dengan pertumbuhan ekonomi negara yang membuka kepada permintaan guna tanah komersial dan industri yang menyumbang kepada peluang pekerjaan dan dapat dilihat dalam suku  keempat bagi tahun 2022, iaitu keadaan pasaran pekerjaan bertambah baik. Peningkatan guna tanah tepu bina ini juga adalah disebabkan oleh migrasi penduduk ke bandar.

“Keluasan guna tanah pertanian di Semenanjung Malaysia juga telah meningkat kepada 0.97 peratus bersamaan dengan 51,273.31 hektar yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh pembukaan kawasan pertanian bagi tujuan sumber bekalan makanan di negara ini,” katanya.

Bagi guna tanah hutan, berlakunya penurunan keluasan guna tanah sebanyak 1.48 peratus bersamaan dengan 92,751.23 hektar yang disebabkan oleh perubahan guna tanah daripada hutan kepada aktiviti pertanian dan pembangunan yang lain. Jelasnya, pembukaan kawasan hutan untuk aktiviti pembangunan lain perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana ekosistem alam sekitar yang terjejas boleh membawa kesan negatif yang besar terhadap penduduk setempat seperti kejadian tanah runtuh, banjir dan lain-lain. Bagi guna tanah badan air pula berlaku peningkatan sebanyak 0.29 peratus bersamaan dengan 1,063.78 hektar disebabkan oleh penyemakan dan penyelarasan semula keluasan guna tanah badan air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi