Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan bahawa Malaysia bakal menarik pelaburan lebih berkualiti dan mampan dalam mengharungi ekonomi global yang kian mencabar. Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman menambah bahawa agensi tersebut komited untuk memastikan Malaysia terus kekal menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.
MIDA mengalu-alukan dasar strategik dan pengenalan insentif cukai seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2024 yang bertujuan mewujudkan kestabilan perniagaan bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik serta memecutkan peralihan ke arah ekonomi lestari berasaskan pengetahuan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Selain itu, MIDA juga mengalu-alukan pengumuman penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Penubuhan jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membolehkan beliau menyelaras aktiviti pelaburan dan perdagangan dengan lebih berkesan, berkoordinasi dan holistik. Sementara itu, pengumuman kerajaan untuk melaksanakan kadar cukai efektif minimum pada peringkat global (Global Minimum Tax – GMT) pada tahun 2025 dijangka akan memberikan impak positif kepada negara, mengekalkan keupayaan untuk menarik pelaburan baharu serta pelaburan sedia ada oleh syarikat multinasional. Langkah itu juga akan memberi jaminan kepada para pelabur terhadap perancangan negara dalam pelaksanaan GMT.