Diterbitkan pada 30 Ogos 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhomat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Pelan Industri Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bakal dilancarkan pada 1 September akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.

Perdana Menteri yang juga menteri kewangan berkata NIMP yang akan dilancarkan memberi tumpuan terhadap anjakan supaya tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor namun bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara industri yang berteknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribuan anak muda dalam bidang pekerjaan baharu.

Selain itu, beliau juga berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian separuh penggal rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sejurus selepas pelancaran NIMP 2030. “Sekali lagi anjakan berlaku tidak hanya kajian yang menilai perencanaan awal, tetapi membuat pengubahsuaian dan anjakan supaya pembangunan kita mampan,” katanya. “Malaysia juga  telah memperoleh kembali perhatian beberapa syarikat besar seperti Geely dari China , Tesla Inc dari Amerika Syarikat (AS), serta Infineon Technologies dari Jerman yang bersetuju menjadikan Malaysia pangkalan pelaburan penting ,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya hari ini yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Tambah beliau lagi, transformasi digital dalam industri bukan sahaja dapat mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul tetapi akan meningkatkan keupayaan kita. Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan ini sangat penting untuk negara kerana boleh mengurangkan kadar pengangguran negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi