Diterbitkan pada 6 Ogos 2023, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan Surat Niat (LOI) kepada Electricite Du Laos (EDL) untuk mewujudkan kerjasama dalam memacu dagangan rentas sempadan dan pembangunan modal insan, seiring usaha TNB mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan memperkasakan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) sebagai penjana tenaga di ASEAN.

Menurut LOI tersebut, TNB cenderung menubuhkan jawatankuasa kolaborasi bersama untuk mengoptimumkan sumber, mengukuhkan jaminan bekalan dan meningkatkan pengetahuan dan perkongsian kemahiran melalui mekanisme inovatif dalam pertukaran tenaga, dengan memanfaatkan institusi pendidikan dan penyelidikan TNB. “Inisiatif ini seterusnya dapat menguatkan perkongsian strategik dan pelaksanaan strategi bersama syarikat tenaga utama susulan TNB Genco-EDL telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka pelaburan dan peluang projek tenaga boleh diperbaharui di Laos.

Kerjasama ini turut mengkaji kebolehlaksanaan eksport tenaga boleh diperbaharui dari Laos ke Malaysia melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia (LTM-PIP) atau menggunakan pendekatan lain, dengan jangkaan nilai dagangan RM460 juta untuk 200MW pada tahun 2025 dan mencecah sehingga RM2.3 billion bagi 1000MW selepas tahun 2030”.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Indera Ir. Baharin Din berkata TNB yakin bahawa pengaruh EDL di sektor tenaga Laos menjadikannya sebagau rakan kongsi yang ideal dengan kerjasama tersebut membolehkan projek manfaat bersama dibangunkan atas kekuatan kedua-dua belah pihak. “Dengan permintaan TBB yang semakin meninggi, berpengaruh EDL di sektor tenaga Laos menjadikan rakan kongsi ideal untuk meneroka peluang sebegitu”.

Merujuk kepentingan pembangunan modal insan dalam mengekalkan dan memajukan sektor tenaga, beliau berkata TNB mempunyai institut pendidikan dan penyelidikan tersendiri: TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), sebuah institut yang menawarkan program latihan teknikal; Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), yang menyediakan kursus berfokuskan tenaga dan TNB Research Sdn Bhd, institut penyelidikan yang mengkhususkan kepada kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Dengan menggalakkan pertukaran kepakaran dan memupuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, institusi ini boleh mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran untuk memacu inovatif dan menangani cabaran industri. Pendekatan ini boleh dimanfaatkan demi meningkatkan perkongsian pengetahuan dan kolaborasi antara TNB dan EDL”.

Menurut Baharin, TNB bersedia untuk menjadi rakan strategik Laos untuk memupuk pertumbuhan dengan Laos yang merupakan “Bateri Asia Tenggara”. Kata beliau, hal itu juga selari dengan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), memacu Pelan Peralihan Tenaga dan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Selain itu, TNB juga sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan EDL dalam bidang lain sektor tenaga. “Seiring dengan visi kami dalam menyediakan solusi tenaga mampan serantau dan antarabangsa, kami juga sedang membangunkan pelbagai peluang tenaga bersih untuk memenuhi permintaan yang semakin berkembang. Kerjasama ini akan mempertingkatkan pacuan TNB untuk memperkasakan kesalinghubungan APG dan mengukuhkan kewujudan TNB Genco sebagai penjana tenaga TNB di negara ASEAN”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi