Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Majlis Sidang Media Prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PMKS) memperkenalkan Strategi Pembangunan PMKS susulan penerbitan Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Malaysia (PMKS) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 27 Julai 2023. Hasilnya, strategi itu telah memperkukuh sinergi kerjasama strategik melibatkan KUSKOP, SME, Corp dan DOSM.
Majlis Sidang Media PMKS telah disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dalam ucapannya, Datuk Ewon Benedick telah mengumumkan bahawa PMKS di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang memberangsangkan sepanjang tahun 2022 dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6 peratus merupakan satu peningkatan yang ketara berbanding dengan kadar penurunan sebanyak 1.3 peratus pada tahun 2021.
Selain itu, pertumbuhan PMKS kembali mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan, iaitu 8.7 peratus pada tahun 2022. Hasilnya, pertumbuhan PMKS ini menjadikan sumbangan PMKS kepada ekonomi meningkat daripada RM 520.0 bilion pada tahun 2021 kepada RM 580.4 bilion pada tahun 2022. Pencapaian ini selari dengan Hasil Kaji Selidik PMKS 2023 oleh SME Corp. Malaysia yang menunjukkan PMKS mengalami penurunan jualan pada tahun 2021. Tegasnya, PMKS mengalami kebangkitan semula pada tahun 2022 ekoran pembukaan semula ekonomi pascapandemik.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME. Corp. Malaysia terus komited dalam memperkukuh pelaksanaan program pembangunan PMKS secara bersasar. Oleh itu, momentum pemulihan dan pembangunan PMKS dijangka terus kukuh pada tahun 2023 seiring dengan penekanan terhadap PMKS dalam Kerangka Ekonomi Malaysia Madani.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP; YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia; YBhg Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia; dan Ybrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME. Corp. Malaysia.