Diterbitkan pada 4 Ogos 2023, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan bagi mengadakan lawatan kerja ke pejabat MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travel Sdn. Bhd. cawangan Kuala Lumpur yang beroperasi di Tingkat 9, Menara MBMR No 1, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur. Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young.

MyUS merupakan sebuah syarikat yang menghubungkan jaringan antara pelabur, syarikat dan perniagaan di Amerika Syarikat untuk sebarang peluang perniagaan yang berpotensi di Malaysia yang juga sebagai pintu masuk utama ke ASEAN. Gabungan pengalaman global syarikat, rangkaian yang luas dan wawasan akar umbi tempatan menjadikannya rakan kongsi yang ideal untuk pelabur dari luar negara yang ingin menerokai ekonomi ASEAN yang berpotensi tinggi. Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd. pula merupakan agensi pelancongan yang berpangkalan di Malaysia. Smart Leisure & Travels diperakui dan diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk mempromosikan Malaysia, terutamanya kepelbagaian budaya, tradisi, kesenian Sarawak dan interaksi rakyat dengan rakyatnya kepada dunia.

MyEco Discover Sdn. Bhd. yang merupakan ahli Kumpulan MyUS sedang menjalankan satu projek di Gua Kelam Perlis yang diberi nama ClubRock yang merupakan kem induk “rock climbing’ pertama di Malaysia yang akan mula beroperasi pada tahun hadapan. Menurut Datuk Nellsen Young, syarikat ini juga mula memfokuskan kepada bidang pelancongan di sekitar negeri Perlis dengan menyediakan beberapa pakej istimewa bagi menarik lebih ramai lagi para pelancong dalam dan luar untuk melancong negeri ini. Semasa pra-pelancaran ClubRock Perlis, syarikat menawarkan pakej pengembaraan eksklusifnya iaitu penginapan 3 hari 2 malam untuk empat orang sebilik termasuk sarapan pagi.

ClubRock Perlis akan memulakan jelajah pameran dan jualan ke seluruh negara bermula di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, seterusnya di Perlis, sehinggalah ke pembukaan secara rasminya pada Januari 2024, sejajar dengan Tahun Melawat Perlis 2024–2025. Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar MyUS Group akan lebih maju dan berjaya pada masa hadapan. Baginda turut mengalu-alukan lebih banyak lagi agensi dan syarikat swasta dapat bekerjasama dengan kerajaan Perlis khususnya untuk memajukan lagi bidang pelancongan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi