Diterbitkan pada 29 Julai 2023, 04:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 11.6% pada tahun 2022 mengatasi pertumbuhan KDNK negara pada 8.7%.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa lonjakan ini menunjukkan kepentingan PMKS semakin meningkat dalam memacu perkembangan ekonomi. Sumbangan PMKS kepada KDNK juga meningkat kepada 38.4% kepada 37.4% pada tahun 2021, manakala nilai ditambah berjumlah RM580.4 bilion, menandakan peningkatan yang ketara daripada RM520.0 bilion pada tahun 2021.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama yang merangkumi sumbangan sebanyak 84.6% kepada KDNK PMKS. Tambahan pula, KDNK PMKS meningkat kepada RM670.1 bilion daripada segi nominal berbanding RM575.5 bilion yang dilaporkan pada tahun 2021 dengan prestasi PMKS pada tahun 2022 melepasi paras sebelum pandemik pada tahun 2019. Eksport PMKS bernilai RM144.5 bilion pada tahun 2022 berkembang sebanyak 16.3% berbanding 5.4% pada tahun sebelumnya yang dipacu oleh sektor pembuatan dengan 19.5% serta sektor perkhidmatan yang memulih kepada 5.7%.

Bagaimanapun, sektor pertanian merekodkan pertumbuhan lebih perlahan pada 6.2% berbanding 20.4% pada tahun 2021. Eksport PMKS merangkumi 10.5% daripada jumlah keseluruhan eksport pada 2022 yang terdiri daripada sektor pembuatan (8.3%) perkhidmatan (2.0%) dan pertanian (0.2%). Mengenai situasi guna tenaga PMKS, sumbangan kepada guna tenaga Malaysia sebanyak 48.2% pada tahun 2022, meningkat 0.4% daripada 47.8% pada tahun sebelumnya. Pada tempoh yang sama, bilangan guna tenaga PMKS terus merekodkan peningkatan dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih besar iaitu 3.8% yang bersamaan dengan 7.59 juta orang.

Mengikut aktiviti ekonomi, guna tenaga PMKS meningkat bagi kesemua sektor kecuali sektor pertanian yang berkurang sebanyak 0.4% yang merangkumi 788 000 orang atau 42.3% daripada keseluruhan guna tenaga sektor pertanian. Sementara itu, DOSM memaklumkan bahawa produktiviti buruh PMKS yang diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja meningkat 7.55 pada tahun 2022 berbanding 0.5% pada tahun sebelumnya dengan merekodkan nilai produktiviti sebanyak RM76 433 setiap pekerja, melepasi nilai semasa sebelum pandemik pada tahun 2019 iaitu RM75 625 setiap pekerja.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi