Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Perangkaan (DOSM) memaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM222.1 bilion pada Jun 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM124.0 bilion dan RM98.2 bilion. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa eksport dan import masing-masing merosot 14.1% dan 18.9% pada Jun 2023 berbanding Jun 2022.
Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri antaranya Johor turun sebanyak RM9.4 bilion, Sarawak turun sebanyak RM4.6 bilion dan diikuti Selangor berjumlah RM3.5 bilion. Negeri lain termasuk Sabah (-RM1.1 bilion), Perak (-RM847.9 juta), Terengganu (-RM380.1 juta), Kelantan (-RM269.6 juta), Kuala Lumpur (-RM78.8 juta) dan Perlis (-RM13.7 juta).
Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM6.4 bilion, Labuan meningkat RM950.5 juta dan Kedah naik sebanyak RM882.6 juta. Negeri lain yang turut mencatat kenaikan eksport ialah Pahang (+RM336.8 juta), Melaka (+RM209.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM81.4 juta). Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2% daripada jumlah eksport negara, diikuti Johor (20.8%), Selangor (17.3%), Sarawak (6.3%) dan Kuala Lumpur (4.4%). Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 25.8%, diikuti Johor (21.2%), Pulau Pinang (19.8%), Melaka (7.2%) dan Kuala Lumpur (7.1%).