18 Mei 2023, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa inflasi Malaysia pada tahun 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% pada tahun 2021, dengan mata indeks mencatatkan 127.2 tahun lepas berbanding 123.1 pada tahun 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan ini terutamanya didorong oleh makanan dan minuman (5.8%), restoran dan hotel (5.0%), pengangkutan (4.7%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5%). Peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine. Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan dan minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9% hingga 8.6%. Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga.

Pembukaan semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa memberi kesan kepada inflasi restoran dan hotel yang mencatatkan peningkatan 5% pada tahun 2022 berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada tahun 2021, manakala inflasi tertinggi pada tahun 2022 dicatatkan pada Ogos 2022 pada 4.7%. Keadaan itu terjadi disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada  tahun 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021.

Selain itu, inflasi pada tahun 2022 turut disumbangkan oleh perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.0%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.8%). Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, terdapat 17.0% item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi. Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga ialah halia (-15.7%), rambutan (-3.9%) dan tali pinggang (-3.6%), manakala tambang Light Rapid Transit (LRT), caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah.

Inflasi bagi pengangkutan menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan iaitu 4.7% pada tahun 2022 berbanding tahun 2021 (11.0%), yang disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian yang menyederhana kepada 5.8% berbanding 14.1% pada tahun 2021. Hal itu adalah disebabkan oleh tamatnya kesan asas rendah berikutan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 kepada RM2.05 seliter pada Mac 2021. Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 pada tahun 2022 meningkat sebanyak 1.1% (RM2.05) tahun ke tahun berbanding 21.2% (RM2.03) pada tahun 2021. Namun begitu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat ketara kepada RM3.97 seliter berbanding RM2.65 pada tahun 2021.

Inflasi tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, telah meningkat sebanyak 3.2% pada tahun 2022 berbanding 1.2% pada tahun 2021. Inflasi teras merangkumi semua barangan dan perkhidmatan yang tidak termasuk makanan segar dengan harga yang tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan yang dikawal harga. Inflasi teras menunjukkan peningkatan kepada 3.0% berbanding 0.7% pada tahun sebelumnya.

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dan tiga negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.3% pada tahun 2022. Beliau menyatakan bahawa peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.3%), Selangor (4.2%) dan Johor (3.4%), manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan terendah iaitu 2.4%.

Bagi inflasi makanan dan minuman, Putrajaya mencatatkan kenaikan tertinggi 7.7% diikuti oleh Selangor (7.4%), Johor (6.1%) dan Pulau Pinang (6.0%). Negeri lain juga mengalami peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan dan minuman nasional iaitu 5.8% pada tahun 2022. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur dan minyak pada tahun 2022 disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Russia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport bahan mentah bagi produk makanan di Malaysia seperti baja dan tepung gandum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.