Diterbitkan pada 14 Mei 2023, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus melipatgandakan usaha bagi membantu mempromosikan serta menarik minat pelabur datang ke negeri Perlis.

Baginda juga berharap agar beberapa projek keutamaan Perlis yang dipohon di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat diberi pertimbangan positif oleh kerajaan persekutuan.

“Tunjukkan sifat mesra pelabur dengan memberikan kemudahan yang dapat memudahkan urusan para pelabur di negeri ini.

“Penambahbaikan dan pendekatan ini akan meletakkan Perlis sebagai satu daripada destinasi baharu yang menarik untuk pelaburan di negara ini,” titah baginda semasa berangkat menyampaikan agihan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid As-Syakirin, Kampung Oran, Mata Ayer.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM700 kepada 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Oran dan Kampung Tasoh.

Antara projek yang dipohon termasuklah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Pembinaan Kompleks Ambulatory Care Centre, Pembangunan Infrastruktur Nakawan Border Industrial Park, Perlis Geopark, Kompleks Rakan Muda dan Hab Perikanan.

Projek tersebut selari dengan dasar sedia ada negeri yang menyokong nod pembangunan dalam usaha merealisasikan hasrat Perlis menjadi bandar raya menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi