Diterbitkan pada 16 Februari 2023, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kedai peruncit perabot dari Sweden, IKEA  menjangkakan prestasi kewangan berada dalam keadaan positif iaitu dengan pertumbuhan satu angka pada tahun kewangan 2023 selepas mencatatkan kejayaan luar biasa apabila telah mencapai peningkatan perolehan sebanyak 35% kepada RM 1.54 bilion pada tahun fiskal 2022.

Pengurus Runcit IKEA Malaysia, Malcolm Pruy menyatakan bahawa IKEA akan memberi fokus kepada beberapa cawangannya di Malaysia iaitu IKEA Batu Kawan di Pulau Pinang dan Tebrau di Johor yang bersambung dengan pusat beli belah terkemuka pada tahun ini dan tahun depan. Beliau juga menambah cawangan di Batu Kawan mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan perniagaan itu kerana lokasi tersebut sedang dalam pembangunan yang pesat dan akan menjadikan cawangan itu sebagai lokasi penumpuan terbesar IKEA yang tinggal di utara Malaysia.  “IKEA Malaysia juga turut menyasarkan untuk merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan dengan pertumbuhan satu angka pada tahun kewangan 2023.”

Sempena ulang tahun ke-20 pada tahun ini juga IKEA telah merancang  untuk menjadikan jenama itu lebih mudah diakses iaitu dengan menumpukan jualan secara dalam talian. Pada tahun ini, IKEA Malaysia juga turut merancang untuk menambah baik industri hospitaliti ke arah diet yang lebih sihat dengan pelancaran menu yang berasaskan tumbuhan.

Pengurus runcit IKEA Malaysia itu turut menyatakan terdapat perancangan untuk membuka cawangan yang baharu namun tidak akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2026. Tambah beliau lagi, fokus utama IKEA sekarang adalah untuk memperkasakan jenama itu selain memastikan cawangan yang sedia ada terus diperkukuhkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi