Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSri Lanka – Sri Lanka menjangkakan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan diluluskan tidak lama lagi. Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe yakin pinjaman negara tersebut akan diluluskan selepas melengkapkan prasyarat untuk memperoleh pinjaman sebanyak 2.9 bilion dolar atau 12. 3 bilion ringgit daripada IMF untuk menyelamatkan negara itu daripada kegawatan ekonomi.
Beliau berharap agar mendapat kelulusan yang cepat untuk membiayai hutang luarnya yang mencecah 7 bilion dolar. Akibat krisis ekonomi yang melanda negara tersebut yang berpanjangan dan diburukkan lagi dengan kekacauan politik, Sri Lanka terjerumus dalam kemelut ekonomi sehingga diisytiharkan muflis. Sri Lanka terperangkap dalam krisis kewangan terburuk sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1948 disebabkan oleh kekurangan dolar yang teruk.
Negara itu juga turut dibebani dengan cukai yang tinggi dan mengalami kekurangan barang keperluan seperti bahan api dan ubat-ubatan dan rakyatnya juga terpaksa berhadapan dengan pemotongan bekalan elektrik setiap hari. Ranil Wickremesinghe merupakan presiden Sri Lanka yang baharu selepas presiden sebelum ini melarikan diri ke negara lain dan meletakkan jawatan pada tahun lepas selepas pengepungan dilakukan oleh ribuan penunjuk perasaan di pejabat dan kediamannya.
Beliau juga menjelaskan bahawa akan menumpukan untuk mendapatkan jaminan pembiayaan daripada pemiutang utama iaitu Jepun dan China. Bank pusat Sri Lanka juga menganggarkan bahawa ekonomi akan kembali pulih pada separuh kedua tahun ini dan inflasi akan melonjak satu digit menjelang akhir tahun ini.
-REUTERS.