Situasi itu akan memastikan harga minyak sawit kekal tinggi dan bertahan antara RM4000 dengan RM4400 satu tan sehingga Disember 2022. Krisis Rusia dan Ukraine yang berterusan akan tetap menjadi satu faktor dan pertumbuhan bekalan minyak sawit berkemungkinan mendatar tinggi tahun depan bagi jangka sederhana.
Beliau turut menambah bahawa stok minyak sawit Malaysia berada dalam aliran berkurangan dari Disember 2021 hingga April 2022 menyebabkan harga lebih tinggi direkodkan kerana paras stok mempunyai hubungan songsang dengan harga. Walau bagaimanapun, sejak Mei 2022, paras stok telah meningkat dan harga pula susut. Pada September 2022, stok minyak sawit tempatan melebihi 2.3 juta tan, paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan dan harga minyak sawit terus susut kepada paras terendah sejak Jun 2021.
Sementara itu, pengeluaran minyak sawit tempatan dijangka berkurangan bagi tahun ketiga pada tahun 2022 kerana kekurangan pekerja di ladang terus menjejaskan penuaian di negara ini. MPOC mengunjurkan pengeluaran MSM di Malaysia pada 2022 mencecah 18.08 juta tan. Namun, sebagai pengeluar terbesar dunia, Indonesia akan mencatatkan sedikit peningkatan pengeluaran minyak sawit disumbangkan terutama oleh kawasan tanaman kelapa sawit yang baru matang. Pengeluaran minyak sawit di Indonesia dinjurkan mencapai 46.6 juta tan.
Beliau menambah bahawa unjuran pengeluaran minyak sawit global pada tahun 2022 ialah 77.2 juta tan manakala penggunaan pada 76.8 juta tan. Minyak sawit masih akan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dunia dalam bekalan minyak dan lemak.