Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) menganjurkan Majlis Prapelancaran Laman Agro–Food Florikultur bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022. Laman Agro–Food Florikultur berkonsepkan Miracle Garden yang menonjolkan keindahan landskap pelbagai jenis kombinasi bunga yang unik dan tanaman dapat dimakan (edible) yang menyegarkan melalui pertanian pintar untuk dinikmati oleh para pengunjung.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Zahimi Hassan, elemen etnobotani, bungaan produktif dan estetik serta tanaman edible diterapkan melalui lapan konsep taman bagi menceriakan Laman Agro–Food Florikultur, iaitu Rainbow Garden, Vertical Garden, Sunflower Garden, Tropical Garden, Petunia Garden, Orchid Garden, Urban Garden, dan Teratai Garden.
“Jabatan Pertanian juga menyediakan rerurai jualan pelbagai benih tanaman dan anak pokok, pameran bunga premium dan terrarium, kuiz, dan permainan, demonstrasi hasilan bunga dan hiburan santai kepada para pengunjung. Laman ini juga mendapat kerjasama dan kolaborasi empat rakan padanan bagi pengisian aktiviti dan program, iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perbadanan Putrajaya, dan POS Malaysia Berhad yang mengeluarkan setem edisi terhad berlogo MAHA 2022,” jelas beliau.
Selain itu, DOA juga mengetengahkan Program Pertanian Komuniti (Kebuniti) yang bertujuan menggalakkan penduduk di bandar dan di luar bandar bercucuk tanam dengan tanaman sayur-sayuran kegunaan harian, antaranya termasuklah cili, kunyit, halia, kubis, sawi, bayam dan salad.
Inisiatif Jabatan Pertanian melalui program ini mampu menjimatkan perbelanjaan dapur dan sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat. Sebagai simbolik Majlis PraPelancaran Laman Agro-Food Florikultur, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh menyampaikan kit pertanian bandar kepada 10 orang penerima yang mewakili komuniti penduduk Putrajaya. Turut hadir pada majlis hari ini ialah YBhg. Dato’ Eliyas Saad, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) dan Puan Nor Sam Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori).
MAHA 2022 akan berlangsung dari 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022 di MAEPS Serdang. Kunjungilah Miracle Garden di Laman Agro–Food Florikultur.