Oleh Ritah Yahaya
13 Jun 2022, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Alibaba Global Initiatives (AGI), iaitu sayap latihan profesional Kumpulan Alibaba akan melancarkan edisi baharu program Alibaba Latihan Netpreneur di Malaysia dengan sokongan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE). Program yang dianjurkan selama empat minggu akan merangkumi pelbagai kuliah dalam talian bagi memperkasakan usahawan tempatan merentas pelbagai sektor dalam memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam ekonomi tempatan.

Dijadualkan berlangsung mulai 12 Julai hingga 16 Ogos 2022, edisi terkini Alibaba Latihan Netpreneur meneruskan usaha-usaha AGI untuk memperlengkap usahawan dan pemimpin perniagaan dengan langkah-langkah yang ketara dan boleh laksana yang dapat diambil oleh mereka untuk mencapai kemajuan dalam ekonomi digital. AGI telah melatih 317 orang usahawan di Malaysia menerusi program ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2019.

Kurikulum pada tahun ini akan menawarkan tumpuan yang lebih khusus pada trend perdagangan dalam talian pascapandemik seperti beli-belah rentas sempadan dan pembangunan ekonomi digital lain, untuk disejajarkan dengan fokus perniagaan yang semakin meningkat terhadap e-dagang serta keperluan perniagaan untuk menavigasi landskap yang semakin berubah ini.

“Dengan peralihan syarikat kepada saluran dalam talian untuk memastikan perniagaan terus berjalan ketika pandemik, pendigitalan bukan lagi merupakan konsep asing kepada usahawan. Peringkat seterusnya adalah tentang bagaimana menukarkan kemajuan digital menjadi kelebihan terbesar kita untuk masa hadapan. Kami berharap edisi ditambah baik Alibaba Latihan Netpreneur ini akan membantu usahawan di Malaysia membangunkan strategi digital jangka panjang dan lebih bijak yang akan membuka lebih banyak peluang e-dagang untuk mereka,” kata Dan Liu, Penasihat Kanan di Alibaba Global Initiatives.

“MDEC menyambut baik inisiatif ini kerana ia akan menjadi nadi kepada perniagaan untuk kekal berdaya tahan pada masa depan, memandangkan kita sedang melangkah ke fasa endemik. Perkembangan pesat pendigitalan dan akses digital telah membuka lebih banyak peluang baharu seperti perdagangan rentas sempadan. Sebagai agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, kami akan terus memacu ekosistem perdagangan digital dengan pelbagai program intervensi melalui inisiatif Malaysia Digital. Kerjasama yang efektif dengan syarikat teknologi global seperti Alibaba ialah satu pencapaian yang amat penting dan kami akan mewujudkan lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.