Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Anugerah Telenovela malam tadi menganjurkan program kemuncak Jelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8. Program tersebut dijayakan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan penaja Ayu Pictures, Yuela Gold dan Majlis Profesor Negara (MPN) disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube DATV yang menampilkan pengacara istimewa, Syafiqah Rahim daripada RTM.
Program yang berlangsung selama dua jam itu dimulakan dengan perkongsian daripada gandingan pempengaruh perpaduan, iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan MPN bersama-sama Puan Rabi’ahtuladawyah Md Saleh, Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Profesor Madya Ts. Dr. Jessica dan Puan Rabi’ahtuladawyah dengan FB JR Integrasi Minda (JRIM) menjayakan segmen “Puisi Kita Mendunia” yang dikupas oleh YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, seorang pensyarah, penyair dan penterjemah profesional.
YBrs. Dr. Rajeswari menekankan peri pentingnya memartabatkan bahasa kebangsaan dalam industri kreatif dan kegiatan penterjemahan karya-karya tempatan yang berlaku dengan pesat dan diterajui bersama-sama Persatuan Penterjemah Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Dalam segmen tersebut, pelibatan pengunjung juga diraikan dengan deklamasi puisi dan menjawab kuiz mudah.
Jelajah Anugerah Telenovela MERECIK Edisi ATN ke-8 diteruskan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN. Beliau memerihalkan kesungguhan dan komitmen YPBN dalam menggiatkan industri kreatif dalam negara, khususnya kreativiti karya bersumberkan buku, iaitu adaptasi buku ke layar dan televisyen. Penganjuran anugerah tersebut juga menjadi motivasi kepada karyawan untuk bersama-sama mendukung aspirasi YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.
YBrs. Dr. Suraiya Chapakiya, pensyarah dari Universiti Fatoni, Thailand menyentuh tentang kesungguhan dan cabaran berkreativiti berteraskan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat di sana, khususnya di universiti. Seni yang jauh daripada amalan Islam sudah tidak diamalkan lagi dan pendekatan deklamasi sajak serta puisidra merupakan aktiviti yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat di selatan Thai yang majoritinya beragama Islam itu.
Dalam program tersebut juga, Wakaf Buku disampaikan daripada penyumbang, iaitu ITBM, DBP, IKIM, YADIM, Karya Seni dan Love Novel kepada Universiti Fatoni. Persembahan nyanyian oleh Ippo Hafiz dan persembahan khas deklamasi puisi oleh Tuan Kamarazaman Yacob berjaya menarik perhatian pengunjung PBAKL 2022. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri.