Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut mengalu-alukan syarikat penerbangan antarabangsa baru iaitu Air India Express pada 28 Mac yang menyediakan penerbangan tiga kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli di Tamil Nadu, India.
Syarikat itu merupakan satu-satunya syarikat penerbangan asing dengan perkhidmatan berjadual antara Tiruchirappalli dan Kuala Lumpur. Sementara itu, syarikat penerbangan rakan kongsi juga terus menyambung semula lebih banyak laluan antarabangsa seperti Malaysia Airlines (MH) dan Malindo Air yang terbang ke Perth selepas pembukaan semula sempadan Australia pada 3 Mac.
MH menyambung semula penerbangan ke lima bandar di India pada bulan yang sama, dengan perkhidmatan udara ke New Delhi, Bangalore, Mumbai, Chennai dan Hyderabad.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood menyatakan bahawa pihaknya terus dirangsangkan oleh peningkatan beransur-ansur pergerakan penumpang antarabangsa di lapangan terbang tempatan susulan pembukaan semula sempadan pada 1 April. “Sejak itu, kami merekodkan purata harian sebanyak 20 000 pergerakan antarabangsa. Kami menjangkakan jumlah ini meningkat lagi sebaik sahaja Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) mula menerima penumpang antarabangsa bulan ini.”
Beliau menambah sebelum pandemik COVID-19 menular, BKI merupakan lapangan terbang ketiga paling sibuk bagi trafik antarabangsa dengan purata 8,460 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari. Pada Mac, MAHB merekodkan 5.31 juta pergerakan penumpang dengan lapangan terbang tempatannya di Malaysia memberi perkhidmatan kepada 57% atau 3.03 juta penumpang. Keseluruhan pergerakan penumpang meningkat sebanyak 19% pada Mac daripada angka pada Februari bagi Malaysia.
Pergerakan trafik penumpang domestik MAHB juga meningkat 15% kepada 2.61 juta penumpang berbanding dengan angka pada bulan sebelumnya.”Memandangkan perjalanan udara semakin rancak, Malaysia Airports kekal komited dalam menyediakan pengalaman yang selamat dan lancar kepada semua penumpang yang melalui lapangan terbang kami,” jelas MAHB.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.