Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) memperkukuh tindakan bagi menangani aktiviti perniagaan tidak sah yang melibatkan warga asing, di samping mempercepat reformasi peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat PEMUDAH Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir bersama-sama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), YBhg. Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali Mydin.
Mesyuarat tersebut memberikan tumpuan pada isu penyalahgunaan pas imigresen atau visa, penggunaan proksi, penyelewengan lesen, serta amalan untung atas angin atau Ali Baba oleh warga asing yang menjejaskan persaingan sihat dan kelangsungan perniagaan tempatan.
Bagi menangani isu itu, mesyuarat bersetuju melaksanakan strategi intervensi berasaskan pendekatan pematuhan, pemantauan dan pemerkasaan (3P) yang merangkumi pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data dan penguatkuasaan bersepadu antara agensi.
Pendekatan itu turut melibatkan pemantauan berasaskan risiko dan usaha memperkukuh keupayaan industri untuk mengenal pasti, serta melaporkan ketidakpatuhan, manakala Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama-sama agensi berkaitan dengannya akan memperincikan dan menyelaras tindakan susulan.
Pada masa yang sama, Kementerian Ekonomi sedang memperincikan cadangan kerangka perundangan bagi membendung amalan untung atas angin, termasuk menilai keperluan menggubal undang-undang baharu atau menambah baik peruntukan sedia ada agar tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2026 meningkat daripada tangga ke-23 pada tahun 2025 kepada tangga ke-15. Penarafan itu melibatkan 70 ekonomi dan penilaian prestasi berdasarkan empat faktor utama, iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Seiring dengan pencapaian tersebut, PEMUDAH akan meneruskan reformasi peraturan secara lebih berfokus untuk meningkatkan kecekapan kerajaan, memperkukuh kualiti kawal selia dan memudahkan urusan perniagaan, termasuk melalui penyelarasan dengan kerangka Business Ready (B-READY). Inisiatif ini selaras dengan sasaran Malaysia untuk muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang tahun 2030.
PEMUDAH yang diurusetiakan bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited meneruskan reformasi peraturan, serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara melalui penyelesaian yang praktikal, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil.