Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Port Dickson – Projek Midport Smart AI Port dijangka memacu pertumbuhan ekonomi baharu Negeri Sembilan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim strategik di Selat Melaka.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pelabuhan pintar berteraskan kecerdasan buatan (AI) di Mukim Pasir Panjang itu bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur, malah mampu meningkatkan kecekapan sektor logistik, mempercepat urusan perdagangan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Menurut beliau, projek berkenaan juga mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk meningkatkan daya saing melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

“Malaysia perlu terus mara dan memperkukuh keupayaan negara melalui teknologi, pendigitalan, serta kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta. Usaha ini penting bagi memastikan negara mampu menghadapi cabaran global, di samping membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, khususnya generasi muda,” ujar beliau ketika merasmikan Projek Midport Smart AI Port.

YAB Dato’ Seri Anwar berkata, kerajaan turut memberikan perhatian terhadap usaha memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh rakyat di seluruh negara.

Menurut beliau, kawasan seperti Linggi dan Port Dickson yang sebelum ini kurang berada dalam arus perdana pembangunan perlu diberikan ruang untuk berkembang sebagai hab ekonomi baharu yang berdaya saing pada peringkat serantau.

Beliau berkata, pembangunan projek strategik seperti Midport Smart AI Port berpotensi mewujudkan ekosistem ekonomi baharu, termasuk dalam sektor logistik, teknologi dan perdagangan, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Agenda MADANI bukan hanya mengenai pembinaan infrastruktur, tetapi usaha membina masa hadapan negara yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk seluruh rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Projek Midport Smart AI Port dijangka memperkukuh jaringan perdagangan dan logistik negara, di samping menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab maritim dan ekonomi berteknologi tinggi di rantau ini.

Kredit Foto: YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi