Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendengar pandangan rantaian sektor padi dan beras bagi merangka hala tuju dan dasar baharu industri yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan.

Komitmen itu diterjemahkan menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 14 Julai 2026 yang julung-julung kali diadakan dan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

Mesyuarat ini menghimpunkan 41 pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai rantaian industri, termasuk pesawah, pengilang, pemborong, pengeluar benih padi, pengurusan tertinggi KPKM, serta agensi berkaitan dengannya.

Pendekatan ini selaras dengan prinsip kementerian bahawa sebarang dasar baharu yang melibatkan industri padi dan beras negara perlu dirangka berdasarkan realiti sebenar di lapangan dengan mengambil kira pandangan pihak yang terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian industri.

KPKM menyedari bahawa industri padi dan beras negara berdepan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Sehubungan dengan itu, penyelesaian yang dirangka tidak boleh dibuat secara bersendirian atau berasaskan pendekatan pukul rata, sebaliknya perlu melalui proses libat urus yang terbuka, menyeluruh dan berterusan.

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuklah impak peningkatan kos operasi terhadap industri, pengurusan dan kawalan Benih Padi Sah (BPS), pengukuhan infrastruktur, mekanisasi dan sistem pengairan, serta aspek pengilangan, penggredan dan pelabelan beras. Yang turut dibincangkan ialah cadangan intervensi kerajaan bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri.

Semua pandangan dan cadangan yang dibangkitkan akan diteliti secara menyeluruh dan diperincikan oleh Jawatankuasa Teknikal Khas sebelum cadangan yang bersesuaian dipertimbangkan untuk diangkat ke peringkat dasar.

KPKM juga akan meneruskan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pembaharuan yang dirangka mengambil kira kepentingan keseluruhan ekosistem industri, daripada pesawah dan pengeluar benih kepada pengilang, pemborong, peruncit, serta pengguna.

Kementerian percaya bahawa dasar yang baik perlu dibina melalui proses mendengar, menilai dan mencari titik keseimbangan antara kepentingan semua pihak. Usaha ini bermatlamat membangunkan industri padi dan beras negara yang lebih cekap, telus, mampan dan berdaya tahan, di samping memastikan bekalan beras negara terus mencukupi dan terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi