Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan inovasi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab demi memperkukuh kepercayaan terhadap sektor kewangan sejajar dengan perkembangan pesat teknologi dalam industri berkenaan.

Gabenor BNM, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, AI kini mengubah landskap perkhidmatan kewangan dengan membantu institusi mengesan penipuan, menilai risiko kredit dan insurans, memperkukuh pematuhan, mengurus risiko, serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

Menurut beliau, apabila dimanfaatkan secara optimum, AI berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh proses membuat keputusan dan memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan.

“AI mungkin mengubah sektor kewangan. Namun begitu, kepercayaanlah yang akan menentukan sama ada transformasi tersebut akan kekal. Inovasi tanpa kepercayaan bukan kemajuan,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan AICB Nexus yang julung-julung kali diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, sektor kewangan dibina atas asas kepercayaan, termasuk keyakinan bahawa simpanan rakyat dilindungi, modal disalurkan secara cekap, serta institusi, tadbir urus dan peraturan yang mendasari sistem kewangan kekal berwibawa dan berdaya tahan.

Pada masa ini, lebih daripada 70 peratus penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia telah menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI. Penggunaan teknologi berkenaan terus meningkat, khususnya dalam bidang yang mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan pengurusan risiko.

YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed berkata, peluang sebenar penggunaan AI adalah untuk melangkaui kepentingan dalaman sesebuah institusi dengan memanfaatkan teknologi itu bagi menangani cabaran yang memerlukan tindakan secara kolektif.

Menurut beliau, cabaran seperti penipuan kewangan, penipuan dalam talian dan ancaman siber memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Sehubungan dengan itu, BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi kewangan, PayNet dan pihak berkaitan dengannya terus bekerjasama untuk memperkukuh perlindungan, berkongsi risikan dan melindungi kepentingan pelanggan.

Beliau berkata, penggunaan AI yang semakin meluas turut menimbulkan cabaran tadbir urus apabila sistem berkenaan menjadi semakin kompleks dan sukar untuk dijelaskan, disahkan atau dicabar. Oleh itu, pertimbangan profesional dan akauntabiliti manusia perlu kekal menjadi asas dalam penggunaan teknologi berkenaan.

“Mesin mungkin mampu menjana pandangan dan menyokong proses membuat keputusan. Namun begitu, akauntabiliti perlu kekal dipikul oleh pihak yang diberikan amanah untuk mentadbir dan memimpin. Tanggungjawab tidak boleh diserahkan kepada algoritma,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi kewangan tidak seharusnya menganggap AI sekadar sebagai projek teknologi, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai agenda penting dalam tadbir urus organisasi.

Pada masa yang sama, institusi kewangan perlu terus melabur dalam peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi menghadapi perubahan sifat pekerjaan akibat perkembangan AI.

Mengulas pendekatan BNM, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed berkata, bank pusat itu akan terus menggalakkan inovasi, memelihara kepercayaan dan memastikan kemajuan sektor kewangan memberikan manfaat kepada masyarakat.

BNM juga akan terus berinteraksi secara proaktif dengan industri, memperjelas kehendak kawal selia, menyokong uji kaji yang bertanggungjawab dan melabur dalam infrastruktur bersama bagi membolehkan inovasi dilaksanakan pada skala yang lebih luas.

Selain AI, beberapa perkembangan lain dijangka membentuk masa hadapan sektor kewangan negara, termasuk Rangka Kerja Kewangan Terbuka BNM yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2027 dan pelan hala tuju tokenisasi aset yang sedang bergerak ke fasa projek rintis menerusi Hab Inovasi Aset Digital.

BNM turut merangka Pelan Sektor Kewangan 2027–2030 dengan kerjasama industri, kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan sektor kewangan negara kekal responsif terhadap cabaran dan keperluan ekonomi yang terus berkembang.

YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed menegaskan bahawa masa hadapan sektor kewangan tidak akan ditentukan semata-mata oleh kepantasan dan kecanggihan teknologi, sebaliknya bergantung pada sejauh mana teknologi tersebut mampu memperkukuh kepercayaan, memperluas peluang dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi