Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Baru Selayang – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkasakan ekosistem pemasaran digital sektor agromakanan negara menerusi penganjuran Seminar Agroborong Malaysia 2026: Sesi Libat Urus Platform Agroborong.com yang berlangsung di Ibu Pejabat FAMA.

Seminar ini menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada petani, penternak, nelayan, pengusaha agromakanan, pemborong, peruncit, pembeli institusi, agensi kerajaan, institusi kewangan, serta penggiat industri bagi membincangkan usaha memperkukuh pemasaran digital sektor agromakanan negara.

Seminar ini merupakan manifestasi komitmen berterusan FAMA dalam memperkasakan sektor agromakanan melalui pendigitalan pemasaran yang lebih cekap, inklusif dan berdaya saing.

Selaras dengan aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), inisiatif ini memberikan penekanan kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan negara, peningkatan akses pasaran dan penggunaan teknologi digital bagi memperluas peluang perniagaan kepada usahawan agromakanan.

Platform Agroborong.com dibangunkan sebagai platform perdagangan digital berkonsepkan perniagaan kepada perniagaan (Business-to-Business, B2B) yang menghubungkan pengeluar dengan pemborong, peruncit, pembeli institusi, serta penggiat industri dalam satu ekosistem pemasaran yang lebih tersusun, telus dan efisien.

Platform tersebut bukan sahaja memudahkan urusan padanan penawaran dan permintaan, malah membantu mempercepat transaksi perdagangan dan memperluas capaian pasaran kepada usahawan tempatan.

Sehingga kini, Agroborong.com merekodkan sebanyak 4348 pengguna berdaftar dengan hampir 1000 pengguna aktif yang terdiri daripada pengeluar dan pembeli dalam pelbagai subsektor agromakanan. Pencapaian ini membuktikan penerimaan positif industri terhadap penggunaan platform digital dalam memperkukuh jaringan pemasaran hasil agromakanan negara.

Selain memperkenalkan fungsi dan kelebihan Agroborong.com, seminar ini turut menjadi platform mendapatkan maklum balas daripada penggiat industri bagi menambah baik sistem sedia ada agar kekal relevan dengan keperluan pasaran yang semakin dinamik.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara FAMA dengan Crop Power Sdn. Bhd. bagi menjalin kerjasama dalam pelaksanaan Malaysia Farming Award (MFA), iaitu platform pengiktirafan nasional yang memberikan tumpuan pada kecemerlangan petani Malaysia dari segi produktiviti, inovasi, penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian terbaik. Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan pembudayaan kecemerlangan dalam sektor agromakanan negara.

Melalui kerjasama strategik ini, FAMA dan Crop Power akan memperluas penggunaan teknologi digital, memperkukuh jaringan industri, serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara sektor awam dengan swasta bagi mempercepat transformasi sektor agromakanan negara. MFA juga dijangka menjadi platform pengiktirafan berprestij kepada petani yang mengamalkan teknologi moden dan inovasi dalam pengeluaran makanan.

Sepanjang seminar berlangsung, peserta turut didedahkan dengan demonstrasi penggunaan Agroborong.com, sesi libat urus bersama-sama penggiat industri, serta sesi pembiayaan dan sokongan perniagaan agromakanan oleh Agrobank. Pengisian tersebut memberikan peluang kepada peserta memahami secara langsung mekanisme penggunaan platform digital, peluang pembiayaan dan strategi memperluas rangkaian pemasaran hasil pertanian.

FAMA yakin penganjuran Seminar Agroborong Malaysia 2026 mampu meningkatkan penggunaan Agroborong.com sebagai platform pemasaran digital agromakanan nasional, memperluas akses pasaran kepada pengeluar tempatan, memperkukuh jaringan pemasaran sektor agromakanan, serta menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam kalangan usahawan tani.

FAMA akan terus memperluas penggunaan Agroborong.com sebagai platform pemasaran digital agromakanan negara di samping memperkukuh pangkalan data pengeluar, pemborong dan pembeli bagi menyokong pembangunan rantaian bekalan makanan negara.

Kerjasama strategik bersama-sama sektor swasta dan agensi berkaitan dengannya akan terus diperkasakan bagi memastikan sektor agromakanan Malaysia kekal berdaya tahan, berinovasi dan mampu memenuhi keperluan pasaran domestik dan antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi