Diterbitkan pada 5 Julai 2026, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan akan melancarkan Pelan Induk Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) secara strategik pada suku keempat tahun 2026 bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun selaras dengan dasar sedia ada dan mampu meningkatkan keyakinan pelabur.

Langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan melalui pelaksanaan JS-SEZ yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa keputusan menangguhkan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ hingga suku keempat tahun ini bukan berpunca daripada kelewatan pelaksanaan, sebaliknya bagi memastikan dokumen tersebut dilancarkan pada masa yang paling sesuai selepas semua aspek dasar, pelaksanaan dan penyelarasan dimuktamadkan.

Menurut kementerian itu, keputusan Perdana Menteri untuk menyelaraskan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ sempena Leaders’ Retreat antara pemimpin tertinggi Malaysia dengan Singapura pada suku keempat tahun ini merupakan strategi yang dirancang bagi memperkukuh komitmen dua hala pada peringkat tertinggi. Pendekatan itu juga dijangka meningkatkan publisiti antarabangsa dan mengukuhkan keyakinan pelabur global terhadap potensi pembangunan zon ekonomi khas tersebut.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, kejayaan JS-SEZ tidak seharusnya dinilai berdasarkan tarikh pelancaran Pelan Induk semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui pencapaian pelaburan dan impak ekonomi yang dihasilkan.

Beliau berkata, prestasi pelaburan semasa membuktikan bahawa keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap Johor kekal kukuh dan konsisten.

Kementerian Ekonomi akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dan semua agensi pelaksana bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ berjalan lancar dan tersusun. Kerjasama itu penting bagi menjadikan JS-SEZ sebagai model kerjasama ekonomi rentas sempadan yang berdaya saing, mampan dan mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Berdasarkan prestasi pelaburan, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM76.98 bilion sepanjang tahun 2025 dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif tersebut telah memasuki peringkat pelaksanaan di lapangan. Bagi suku pertama tahun 2026 pula, sebanyak RM5.49 bilion pelaburan baharu telah diluluskan.

Selain itu, Kementerian Ekonomi turut mengenal pasti potensi pelaburan baharu bernilai RM74.12 bilion yang kini berada dalam pelbagai peringkat rundingan dan penilaian. Perkembangan tersebut mencerminkan momentum pelaburan yang terus kukuh dan menunjukkan JS-SEZ berada pada landasan yang tepat untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi