Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan MADANI menyambut baik langkah industri perbankan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global dan kesan konflik di Asia Barat.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen sektor perbankan dalam memperkukuh akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih inklusif, berpatutan dan berperikemanusiaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengamalkan nilai ihsan dalam sistem kewangan negara.
Inisiatif yang diperkenalkan merangkumi Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di semua mesin pengeluaran automatik (ATM) bank di Malaysia, serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terjejas. Langkah tersebut bertujuan meringankan beban kewangan rakyat di samping membantu perniagaan kecil mengekalkan aliran tunai dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kewangan yang lebih mudah, bertanggungjawab dan berpatutan kepada rakyat.
Menurut beliau, ketika rakyat dan PMKS berdepan dengan tekanan kos dan cabaran aliran tunai, institusi kewangan perlu memainkan peranan penting dengan menawarkan penyelesaian yang lebih berhemah, tangkas dan berperikemanusiaan.
Pengenalan Kad Kredit Asas merupakan antara langkah penting bagi menyediakan kemudahan kredit yang lebih ringkas dan bertanggungjawab kepada pengguna yang memerlukan sokongan dalam mengurus aliran tunai harian. Produk tersebut menawarkan kadar pembiayaan yang lebih rendah berbanding dengan kad kredit konvensional, serta tidak menekankan ganjaran gaya hidup atau pulangan tunai.
Kadar pembiayaan bagi Kad Kredit Asas dihadkan kepada 14 peratus setahun berbanding dengan kadar maksimum 18 peratus setahun ketika ini. Selain itu, had kredit turut ditetapkan pada paras yang lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat. Pemegang kad kredit sedia ada juga boleh memindahkan baki tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa dikenakan sebarang caj.
Mulai 1 Julai 2026, rakyat Malaysia juga boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana ATM yang dikendalikan oleh bank di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1. Kemudahan yang melibatkan lebih daripada 14 000 ATM itu dijangka memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan asas dan mengurangkan kos transaksi yang ditanggung pengguna.
Bagi peminjam yang terkesan akibat gangguan bekalan global dan konflik di Asia Barat, bank turut menyediakan bantuan bersasar mengikut keperluan dan kedudukan aliran tunai masing-masing. Bantuan tersebut merangkumi penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran bulanan dan lanjutan tempoh pembiayaan.
Sejak akhir April 2026, institusi perbankan telah menerima dan memproses permohonan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman melibatkan pembiayaan melebihi RM4.7 bilion bagi lebih daripada 1100 peminjam. Pada masa yang sama, pembiayaan kepada sektor PMKS terus berkembang dengan pertumbuhan pembiayaan terkumpul sebanyak 5.3 peratus direkodkan pada Mei 2026.
Di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun 2026 kepada hampir 1500 peminjam PMKS yang terjejas akibat konflik di Asia Barat. Industri perbankan turut komited memproses permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja, manakala baki peruntukan kira-kira RM4 bilion masih tersedia bagi memenuhi permintaan pembiayaan seterusnya.
Kerajaan turut menggalakkan peminjam dan PMKS yang terkesan supaya menghubungi institusi perbankan masing-masing seawal mungkin bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian. Selain itu, mereka juga boleh memanfaatkan skim jaminan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC), di samping mendapatkan khidmat nasihat kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia dan industri perbankan bagi memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, inklusif dan berorientasikan kepentingan rakyat, serta menyokong daya tahan PMKS dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.