Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) terus memacu strategi penjagaan kesihatan swasta negara menerusi pelaksanaan program rintis MediAsas, usaha meningkatkan ketelusan harga dan peluasan inisiatif kesihatan digital.
Langkah tersebut merupakan antara perkembangan terkini di bawah kerangka RESET yang bertujuan meningkatkan aspek kemampuan memiliki, kebolehcapaian, ketelusan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.
JBMKKS yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut mengumumkan penetapan MediAsas sebagai jenama rasmi bagi Pelan Asas MHIT.
Inisiatif itu dirangka untuk menyediakan akses kepada perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan dalam jangka masa panjang dengan program rintis dijadual bermula pada penghujung Julai 2026 sebelum pelaksanaan pada peringkat nasional pada Januari 2027.
Menurut YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, MediAsas akan menjadi asas penting dalam menyokong reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan jangka masa panjang di samping memperluas akses rakyat kepada perlindungan perubatan yang lebih mampu milik.
Beliau berkata, melalui kriteria kelayakan yang lebih luas dan ciri produk yang tersendiri, inisiatif tersebut dijangka dapat mengekalkan kemampuan memiliki perlindungan kesihatan sambil meningkatkan liputan kepada lebih banyak rakyat Malaysia. Program rintis itu juga penting bagi memastikan pelaksanaan MediAsas di seluruh negara berjalan lancar dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih bersepadu.
Sementara itu, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata, MediAsas merupakan langkah signifikan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut akan disokong oleh pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (Diagnosis-Related Groups – DRG) secara berperingkat di hospital swasta sebagai usaha membendung peningkatan kos rawatan dan menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai. Pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan keyakinan pengguna dan menyokong hasil kesihatan yang lebih baik.
MediAsas akan ditawarkan sebagai pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful berasingan yang merangkumi dua pilihan produk, iaitu MediAsas Teras bagi pelan standard dan MediAsas Fleksi bagi pelan “standard-plus”. Kedua-dua pelan itu menyediakan perlindungan kepada individu hingga berusia 85 tahun.
Bagi memastikan tadbir urus MediAsas kekal telus dan berkesan, JBMKKS turut mengambil langkah menubuhkan Lembaga Tadbir Urus Bebas (Independent Governance Board). Penubuhan lembaga tersebut bertujuan memantau pelaksanaan MediAsas secara berterusan dan melindungi kepentingan pengguna selepas pelaksanaan sepenuhnya.
Selain MediAsas, JBMKKS turut mempercepat beberapa inisiatif lain bagi memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan swasta negara. Antaranya termasuklah memperluas penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MyDHCN), menambah baik, serta memodenkan proses pelesenan dan pendaftaran kemudahan kesihatan swasta di bawah Akta 586. Selain itu, inisiatif lain termasuk meningkatkan ketelusan penyediaan bil melalui kerjasama antara hospital swasta, syarikat insurans, pengendali takaful dan pihak kawal selia.
JBMKKS memaklumkan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut akan diteruskan menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan, syarikat insurans, pengendali takaful, penyedia perkhidmatan kesihatan dan pihak berkepentingan lain. Kerjasama itu dijangka dapat memperkukuh kemampuan memiliki, kebolehcapaian, ketelusan dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan swasta negara.
Perkembangan lanjut berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan akan diumumkan selepas tamat program rintis MediAsas sebagai persediaan ke arah pelancarannya pada peringkat nasional pada Januari 2027.