Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMaran – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh insentif kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang melibatkan aspek perumahan, pendapatan, pendidikan dan kemudahan asas sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Jengka, Pahang pada 7 Julai 2026.
Bagi menangani isu perumahan generasi baharu FELDA, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas, serta memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman. Kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM150 juta untuk menyiapkan 554 unit Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai di seluruh negara.
Selain itu, kerajaan meluluskan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek FELDA Sentuhan Kasih berasaskan pertanian di Laka Selatan, Kedah dan SKF Palong, Negeri Sembilan yang berdepan dengan kekangan dana.
Dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka, kerajaan akan mengembalikan model jualan minyak sawit mentah kepada sistem asal sebelum penyenaraian Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dalam Felda Global Ventures (FGV). Langkah itu dijangka memberikan tambahan manfaat pendapatan sehingga RM42 juta kepada peneroka melalui KPF.
Kerajaan turut memperuntukkan RM450 juta dalam tempoh tiga tahun bagi membaik pulih dan membina rumah kakitangan FELDA, serta RM28.85 juta bagi memperkukuh program literasi digital dan menaik taraf sekolah di 370 rancangan FELDA.