Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelayang – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkukuh pemasaran durian melalui Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-buahan Bermusim Tahun 2026 bagi mengurangkan impak lebihan bekalan semasa musim puncak pengeluaran yang dijangka berlangsung dari Jun hingga Ogos tahun ini.
Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan hasil pengeluaran durian tempatan dapat dipasarkan secara lebih terancang, sekali gus mengelakkan tekanan terhadap harga pada peringkat ladang.
Menurut FAMA, hasil pemantauan mendapati harga purata durian kampung pada peringkat ladang ketika ini berada antara RM1.00 hingga RM4.00 sekilogram bergantung pada lokasi dan kuantiti bekalan.
Bagi tahun 2026, FAMA memperuntukkan pembelian buah-buahan bermusim, termasuk durian melalui Pusat Operasi FAMA sebanyak 1000 tan metrik dengan nilai keseluruhan RM7 juta.
Sehingga kini, sebanyak 142.7 tan metrik durian telah dibeli secara langsung oleh FAMA bernilai RM1.1 juta, manakala pembelian tidak langsung melalui usahawan pemasar FAMA mencapai 1099 tan metrik dengan nilai jualan RM3.28 juta.
Dalam usaha menangani peningkatan bekalan semasa musim puncak, FAMA melaksanakan tiga strategi utama. Yang pertama, memperluas saluran pemasaran melalui 90 lokasi jualan buah-buahan bermusim di seluruh negara sebagai saluran jualan terus dari ladang, serta mewujudkan 60 Pusat Belian Sementara (PBS) yang dikendalikan oleh FAMA dan usahawan bimbingan. Setakat ini, PBS tersebut telah memberikan manfaat kepada 71 orang petani.
Strategi kedua melibatkan pengoperasian 42 Pusat Operasi (PO) FAMA bagi melaksanakan intervensi pemasaran untuk membantu petani yang berdepan dengan cabaran memasarkan hasil pengeluaran mereka.
Strategi ketiga pula adalah dengan memanfaatkan kapasiti 14 Pusat Memproses Buah FAMA (PMBF) untuk menyerap lebihan bekalan melalui aktiviti pemprosesan kepada produk separa siap seperti pes durian. Dalam tempoh musim pengeluaran semasa, sebanyak 25.7 tan metrik buah-buahan telah diproses melalui kemudahan tersebut.
Selain itu, FAMA turut menyediakan 142 bilik sejuk di seluruh negara dengan kapasiti penyimpanan keseluruhan sebanyak 1600 tan metrik bagi membantu mengekalkan kualiti produk dan mengurangkan tekanan pasaran semasa musim puncak.
Pada masa yang sama, laporan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC) menunjukkan jumlah eksport durian negara pada tahun 2025 mencecah 42 994 tan metrik dan dijangka meningkat kepada 50 000 tan metrik pada tahun ini.
Sejajar dengan peningkatan pengeluaran durian negara, FAMA turut memperkukuh rantaian pemasaran melalui peluasan pasaran eksport ke beberapa negara berpotensi seperti Kanada, United Kingdom (UK), New Zealand, Jepun dan Maldives bagi mengurangkan kebergantungan pada satu pasaran utama.
FAMA juga menjalin kerjasama dengan 13 Export Management Company (EMC) yang melibatkan 10 negara sebagai penghubung strategik untuk mendapatkan pembeli berpotensi di luar negara menerusi program padanan perniagaan, misi perdagangan dan promosi antarabangsa.
Bagi memperluas penembusan pasaran luar negara, FAMA akan menganjurkan program Durian Paradise dan Durian Fiesta di Singapura pada Ogos 2026. Program tersebut akan mempromosikan sebanyak tujuh tan metrik durian premium Malaysia, termasuk varieti Musang King, Black Thorn, Klon dan Kampung. Inisiatif itu dijangka menjana jualan langsung bernilai RM1.5 juta dan memperkukuh kedudukan durian Malaysia dalam pasaran Singapura.
Dalam aspek kawalan kualiti dan kebolehpasaran, FAMA sedang membangunkan simulasi sistem jejak penggredan, pembungkusan dan pelabelan (GPL) yang memberikan tumpuan pada pasaran eksport. Sistem tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpasaran durian tempatan di samping melindungi identiti durian Malaysia.
FAMA turut memanfaatkan Portal Pengawasan, serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) bagi memantau bekalan dan pemasaran secara berterusan untuk membantu menstabilkan keadaan pasaran sama ada dari segi bekalan mahupun harga.
Langkah yang dilaksanakan mencerminkan komitmen FAMA dalam memastikan industri durian negara terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan mampu meningkatkan pendapatan pekebun dan usahawan tempatan.