Hadiah Peringatan Nobel dalam Ekonomi atau nama rasminya Hadiah Sveriges Riksbank dalam Sains Ekonomi bagi Mengenang Alfred Nobel merupakan penghormatan akademik tertinggi dalam bidang tersebut.
Anugerah ini mengiktiraf kajian perintis yang mengubah dasar ekonomi global daripada sekadar teori atau logik tulen kepada sains empirikal, iaitu ilmu yang diperoleh berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan eksperimen saintifik. Impak daripada kajian ini amat mendalam terhadap pembentukan masyarakat moden.
Anugerah ini diwujudkan berdasarkan model lima Hadiah Nobel asal yang diwasiatkan oleh Alfred Nobel, seorang pereka cipta dan ahli kimia anak watan Sweden yang lahir pada tahun 1833. Beliau meluangkan sebahagian besar usia dewasanya untuk mencipta dan menambah baik bahan letupan dengan dinamit sebagai ciptaannya yang paling terkenal. Namun demikian, satu kemalangan tragis di makmalnya telah mengorbankan adik bongsunya, Emil bersama-sama dengan beberapa orang pekerja.
Banyak pakar berpendapat bahawa kemusnahan besar yang diakibatkan oleh ciptaannya mendorong Alfred Nobel untuk meninggalkan warisan (legasi) yang lebih positif. Menurut wasiatnya, sebahagian besar kekayaannya diperuntukkan sebagai dana hadiah tahunan kepada individu yang memberikan sumbangan terbesar kepada kemanusiaan dalam lima bidang asal, iaitu Kimia, Fizik, Kesusasteraan, Keamanan; dan Fisiologi atau Perubatan. Anugerah ini mula disampaikan pada tahun 1901 di bawah pengurusan Yayasan Nobel.
Pada tahun 1968, sempena sambutan ulang tahun ke-300 bank pusat Sweden (Sveriges Riksbank), bank tersebut telah menubuhkan satu dana wakaf khusus untuk membiayai anugerah dalam bidang ekonomi. Walaupun anugerah ini diletakkan pada gred yang sama dan disampaikan serentak dengan Hadiah Nobel yang lain, secara rasminya pengiktirafan ini bukan sebahagian daripada Hadiah Nobel asal kerana tidak diasaskan sendiri oleh Alfred Nobel.
Hadiah Nobel Ekonomi ini memberikan tumpuan pada kajian yang menangani cabaran besar masyarakat seperti pembasmian kemiskinan global, isu perubahan iklim dan pembentukan dasar fiskal, yakni instrumen kerajaan yang melibatkan perbelanjaan dan percukaian untuk mempengaruhi pemboleh ubah makroekonomi seperti permintaan agregat, guna tenaga, inflasi dan pertumbuhan ekonomi. Dasar fiskal merupakan alat utama kerajaan untuk menstabilkan kitaran perniagaan dan memandu hala tuju ekonomi negara.
Dengan meletakkan bidang ekonomi pada kedudukan yang sama prestijnya dengan sains tulen, anugerah ini mengangkat analisis ekonomi daripada sekadar perdebatan teori kepada satu disiplin empirikal yang mampu memandu kemajuan institusi, serta kemakmuran negara.
Penemuan oleh para penerima anugerah ini biasanya dapat diterjemahkan secara langsung menjadi dasar yang praktikal. Hal ini banyak mempengaruhi strategi bank pusat, pengawalseliaan pasaran dan reka bentuk sistem perdagangan antarabangsa.
Pencapaian dan Bidang Penting yang Diiktiraf
Kepentingan anugerah ini dicerminkan melalui idea transformatif yang diraikan antaranya termasuklah:
Ekonomi Tingkah Laku
Bidang ini menyepadukan elemen psikologi dengan ekonomi untuk memahami tindakan manusia yang ada kalanya tidak rasional boleh mempengaruhi keputusan kewangan.
Daniel Kahneman (2002): Beliau yang asalnya seorang ahli psikologi telah dianugerahkan Hadiah Nobel atas usaha perintisnya menyerapkan cerapan psikologi dalam sains ekonomi, khususnya mengenai pertimbangan manusia dan pembuatan keputusan dalam keadaan luar kepastian. Bersama-sama dengan mendiang rakannya, Amos Tversky, mereka mencabar teori ekonomi tradisional dengan membuktikan bahawa manusia sering membuat keputusan berdasarkan kecenderungan kognitif dan heuristik apabila berhadapan dengan situasi rumit. Sebagai contoh, seseorang mungkin berasa terlalu takut diserang jerung hanya kerana kerap mendengar berita mengenainya di media walaupun kebarangkalian sebenar kejadian itu amat rendah.
Richard Thaler (2017): Beliau diiktiraf atas sumbangannya dalam membina jambatan antara analisis ekonomi dengan psikologi bagi pembuatan keputusan individu. Kajian beliau mendedahkan sifat manusia seperti kerasionalan berbatas (bounded rationality), kawalan diri dan keutamaan sosial mempengaruhi keputusan pasaran secara sistematik.
Pembasmian Kemiskinan
Para perintis dalam bidang ini mengaplikasikan pendekatan eksperimental dan data lapangan untuk menguji keberkesanan kaedah menangani kemiskinan global.
Abhijit Banerjee, Esther Duflo dan Michael Kremer (2019): Mereka dianugerahkan Hadiah Nobel atas pendekatan eksperimental dalam mengurangkan kemiskinan global. Mereka menggunakan kaedah Ujian Terkawal Rawak (RCT) sama seperti ujian klinikal dalam bidang perubatan untuk mengenal pasti intervensi mikro yang paling berkesan dalam sektor pendidikan dan kesihatan pada peringkat tempatan. Menerusi anugerah ini, Esther Duflo melakar sejarah sebagai pemenang termuda dan wanita kedua yang menerima Hadiah Nobel Ekonomi.
Ekonomi Institusi
Cabaran ekonomi ini memfokuskan kepada struktur sosial, undang-undang, norma dan organisasi yang membentuk tingkah laku ekonomi dan pembangunan jangka masa panjang.
Daron Acemoglu, Simon Johnson dan James A. Robinson (2024): Mereka memenangi anugerah ini atas kajian tentang cara institusi sosial dibentuk dan kaedah ini mempengaruhi kemakmuran sesebuah negara. Kajian mereka membuktikan bahawa kualiti institusi ekonomi dan politik yang sering kali dicorakkan oleh sejarah kolonialisme menjadi pemacu utama punca sesetengah negara menjadi kaya manakala negara lain terus terperangkap dalam kemiskinan.
Teori Permainan (Game Theory) dan Ekonomi Maklumat
Cabaran ini mengkaji cara ejen ekonomi berinteraksi secara strategik, terutamanya dalam pasaran yang mempunyai maklumat tidak seimbang (asymmetric information).
Ekonomi Maklumat (2001):George A. Akerlof, A. Michael Spence dan Joseph E. Stiglitz berkongsi anugerah ini atas sumbangan asas mereka dalam menganalisis pasaran dengan maklumat tidak seimbang, yakni situasi apabila satu pihak mempunyai maklumat yang lebih baik atau lebih banyak daripada pihak yang lain.
Teori Permainan (1994):John F. Nash Jr., John C. Harsanyi dan Reinhard Selten menerima anugerah atas analisis perintis mereka mengenai konsep keseimbangan dalam teori permainan bukan koperatif.
Konflik dan Kerjasama (2005):Robert J. Aumann dan Thomas C. Schelling diiktiraf kerana memperluas kefahaman tentang konflik dan kerjasama ekonomi antarabangsa melalui analisis teori permainan.
Aplikasi dunia sebenar teori permainan adalah seperti yang berikut:
Penetapan Harga Oligopoli: Membantu memahami cara sebilangan kecil firma dominan seperti syarikat penerbangan atau telekomunikasi menetapkan harga dan menjangka tindak balas pesaing jika mereka menurunkan tarif.
Perang Dagang: Menjelaskan sebab negara mengenakan tarif atau sekatan perlindungan (protectionism). Walaupun kerjasama perdagangan bebas membawa pertumbuhan yang lebih baik, kebimbangan terhadap tindakan mengkhianat atau memanipulasi harga mendorong kerajaan memilih dasar perlindungan.
Reka Bentuk Lelongan: Membantu kerajaan merancang proses pembidaan yang kompleks seperti lelongan spektrum frekuensi telekomunikasi bagi memaksimumkan hasil dan kecekapan.
Dilema Banduan (prisoner’s dilemma): Senario klasik yang menunjukkan punca dua pihak rasional mungkin tidak bekerjasama walaupun tindakan bekerjasama itu memberikan hasil terbaik untuk kedua-duanya. Hal ini menjelaskan fenomena seperti “perang iklan” yang menyaksikan firma pesaing berbelanja besar untuk pengiklanan semata-mata untuk menyaingi satu sama lain.
Nota Teori Permainan: Teori permainan ialah kajian matematik tentang pembuatan keputusan strategik oleh individu, firma atau negara yang rasional. Konsep utamanya melibatkan perkara yang berikut:
Pemain (players): Pembuat keputusan (firma, pengguna, kerajaan).
Strategi (strategies): Pelan tindakan yang boleh diambil.
Imbuhan (payoffs): Hasil atau pulangan (keuntungan, utiliti, syer pasaran).
Keseimbangan Nash (nash Equilibrium): Situasi apabila semua pemain memilih strategi terbaik dengan mengambil kira pilihan pemain lain, menyebabkan tiada insentif bagi mana-mana pihak untuk menukar keputusan mereka secara unilateral.
Makroekonomi dan Dasar Kewangan
Milton Friedman (1976): Diiktiraf atas pencapaiannya dalam bidang analisis penggunaan, sejarah dan teori monetari, serta demonstrasi tentang kerumitan dasar stabilisasi ekonomi.
Robert Solow (1987): Menerima anugerah atas sumbangan asasnya kepada teori pertumbuhan ekonomi melalui Model Pertumbuhan Solow-Swan yang menunjukkan cara pengumpulan modal, tenaga buruh dan kemajuan teknologi bergabung untuk memacu pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan.
Ben Bernanke, Douglas W. Diamond dan Philip H. Dybvig (2022): Perkongsian hadiah atas kajian impak bank dan krisis kewangan. Kajian Bernanke secara khusus menganalisis Zaman Meleset (Great Depression) tahun 1929 di AS mendedahkan fenomena pengeluaran cemas oleh pelanggan boleh meruntuhkan sistem perbankan dan memburukkan lagi kemelesetan ekonomi.
Ekonomi Buruh
David Card, Joshua Angrist dan Guido Imbens (2021): David Card menerima anugerah atas sumbangan empirikalnya yang menggunakan “eksperimen semula jadi” untuk menganalisis kesan gaji minimum, imigrasi dan pendidikan terhadap pasaran buruh.
Claudia Goldin (2023): Beliau diiktiraf kerana memajukan kefahaman tentang status dan hasil pasaran buruh wanita merentas kurun. Kajiannya mendedahkan bahawa penyertaan wanita membentuk lengkungan berbentuk U sejak era perindustrian dan mengenal pasti punca jurang upah jantina, termasuk impak daripada kelahiran anak pertama.
Ekonometriks
Ragnar Frisch dan Jan Tinbergen (1969): Pemenang sulung Hadiah Nobel Ekonomi. Ragnar Frisch yang diiktiraf sebagai “Bapa Ekonometriks” merupakan individu yang membina model dinamik untuk analisis proses ekonomi; dan mencipta istilah “ekonometriks” (1926), serta “mikroekonomi” dan “makroekonomi” (1933).
Clive Granger dan Robert F. Engle III (2003): Diiktiraf atas pembangunan kaedah statistik inovatif untuk menganalisis siri masa ekonomi, yakni rentetan data kuantitatif yang dikumpulkan mengikut selang masa berkala seperti harian, bulanan atau tahunan yang sangat kritikal dalam ramalan trend ekonomi.
Hadiah Peringatan Nobel dalam Ekonomi bukan sekadar simbol kemegahan akademik, malah merupakan penggerak utama dalam pencarian penyelesaian konkrit bagi menangani isu kritikal negara seperti ketidakcekapan pasaran buruh, jurang pendapatan antara golongan kaya dengan miskin, serta kelemahan struktur pasaran global. Melalui pengiktirafan ini, analisis ekonomi terus beralih daripada sekadar wacana teori kepada pembentukan instrumen empirikal yang berpaksikan data, eksperimen dan realiti kehidupan manusia.