Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan MADANI akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai 2026 menerusi pembaharuan mekanisme penyasaran subsidi diesel yang menggunakan pengesahan MyKad.
Langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan rakyat menikmati harga diesel yang sama dan kaedah pembelian yang seragam di seluruh negara.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), pelaksanaan kaedah baharu itu diselaraskan dengan pendekatan yang digunakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih tepat kepada rakyat Malaysia yang layak.
Melalui mekanisme tersebut, rakyat Malaysia hanya perlu mengesahkan MyKad untuk menikmati harga bersubsidi, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
Pembaharuan berkenaan penting dalam situasi ketidaktentuan bekalan minyak global yang dipengaruhi krisis di Asia Barat, selain membantu memastikan subsidi kerajaan sampai kepada kumpulan sasar, serta mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi.
Menurut MoF lagi, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dengan harga tanpa subsidi sebelum ini telah mewujudkan ruang kepada penyalahgunaan dan penyeludupan, termasuk ke luar negara. Pada masa ini, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak berbanding dengan harga runcit tanpa subsidi, iaitu RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan dengan itu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga di Semenanjung Malaysia melalui mekanisme penyasaran subsidi yang baharu.
Langkah tersebut membolehkan bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi diesel, manakala rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
MoF memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 22 Jun 2026.