Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFrankfurt – Malaysia terus memperluas pengaruhnya sebagai destinasi utama acara perniagaan antarabangsa menerusi penyertaan strategik Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di IMEX Frankfurt 2026 yang berlangsung di Messe Frankfurt, Jerman dari 19 Mei 2026 hingga 21 Mei 2026.
Penyertaan itu dilihat sebagai langkah penting dalam mengukuhkan kedudukan negara dalam industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) pada peringkat global.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), MyCEB terus memainkan peranan aktif dalam mempromosikan keupayaan Malaysia sebagai hab acara perniagaan bertaraf dunia, selain memperkukuh jaringan kerjasama industri dengan penggiat industri antarabangsa.
IMEX Frankfurt diiktiraf sebagai antara platform perdagangan terbesar dunia bagi industri acara perniagaan dengan penyertaan lebih daripada 3,000 pempamer dan lebih daripada 12,000 penggiat industri, termasuk kira-kira 4,000 pembeli hos dari lebih 150 negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, penyertaan berterusan Malaysia sejak tahun 2011 membuktikan komitmen negara dalam memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pilihan acara perniagaan di Asia.
Menurut beliau, platform berprestij itu membuka peluang besar untuk Malaysia berinteraksi secara langsung dengan komuniti acara perniagaan global, di samping meneroka kerjasama baharu yang berpotensi membawa lebih banyak acara antarabangsa ke negara ini.
Sepanjang pameran berlangsung, Pavilion Malaysia menampilkan pelbagai inisiatif strategik, termasuk sesi padanan perniagaan, libat urus bersama-sama pembeli antarabangsa, serta promosi infrastruktur dan lokasi acara utama di seluruh negara.
Usaha tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan penggiat industri global terhadap kemampuan Malaysia dalam mengendalikan acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa.
Antara tarikan utama di Pavilion Malaysia termasuklah pelancaran rasmi pavilion berkenaan, serta penampilan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja yang menjadi simbol promosi awal kempen pelancongan negara.
Kehadiran maskot tersebut turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mengintegrasikan sektor pelancongan dan industri acara perniagaan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di pentas antarabangsa, penyertaan dalam IMEX Frankfurt 2026 dijangka menyokong pertumbuhan mampan industri acara perniagaan tempatan melalui peningkatan peluang pelaburan, pertambahan penganjuran acara antarabangsa dan pengembangan jaringan industri pada peringkat global.