Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) global menerusi pengenalan pendekatan baharu dikenali sebagai “Legacy Wonders” yang menekankan pembangunan mampan, serta impak jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat.

Inisiatif itu diperkenalkan sempena penyertaan Sarawak dalam pameran perdagangan acara perniagaan antarabangsa, IMEX Frankfurt 2026 di Jerman, sekali gus mencerminkan aspirasi negeri tersebut untuk muncul sebagai “Legacy Capital of Business Events” di Malaysia dan rantau Borneo.

Pengerusi Business Events Sarawak (BESarawak) merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Hii Chang Kee berkata, pendekatan berkenaan menandakan perubahan strategi Sarawak daripada sekadar mempromosikan destinasi pelancongan kepada pembangunan industri yang mampu memberikan manfaat ekonomi dan sosial secara berterusan.

Menurut beliau, Sarawak kini memberikan tumpuan pada usaha menggalakkan kerjasama strategik dengan penggiat industri global bagi menyokong agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa yang mampu menjana nilai tambah kepada negeri itu.

Katanya, Sarawak bukan lagi sekadar berperanan sebagai tuan rumah acara, sebaliknya bertindak sebagai rakan strategik kepada penganjur bagi memastikan setiap acara yang dianjurkan dapat menghasilkan impak jangka masa panjang, termasuk dalam aspek pelaburan, inovasi, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi.

Bagi menyokong agenda tersebut, Sarawak turut melaksanakan pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur dan keterhubungan. Antaranya termasuklah projek peluasan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK2) yang dijangka siap pada tahun 2028 bagi meningkatkan kapasiti negeri itu untuk menganjurkan konvensyen dan pameran berskala besar.

Selain itu, pengenalan syarikat penerbangan serantau AirBorneo dijangka memperluas ketercapaian ke Sarawak, sekali gus memperkukuh ekosistem industri acara perniagaan negeri berkenaan.

Pendekatan “Legacy Wonders” turut memberikan penekanan kepada pengalaman berasaskan budaya, alam semula jadi, gastronomi, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan untuk peserta korporat. Inisiatif tersebut dilihat mampu memperkasakan pelancongan bertanggungjawab dan meningkatkan pelibatan komuniti tempatan dalam pembangunan industri MICE.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan jaringan antarabangsa, BESarawak turut memperluas pelaksanaan Academic Mobility Programme (AMP) yang menghubungkan universiti, penggiat industri dan rakan strategik antarabangsa melalui pertukaran ilmu dan lawatan teknikal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo berkata, inisiatif seperti AMP membuktikan komitmen Sarawak dalam membina legasi industri acara perniagaan yang bukan sahaja tertumpu pada pembangunan fizikal, malah turut merangkumi pengukuhan pengetahuan dan kerjasama strategik pada peringkat global.

IMEX Frankfurt 2026 yang berlangsung dari 19 Mei 2026 hingga 21 Mei 2026 di Messe Frankfurt merupakan antara platform perdagangan acara perniagaan terbesar dunia yang menghimpunkan perancang mesyuarat, pemimpin persatuan, biro konvensyen, serta penggiat industri dari seluruh dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi