Diterbitkan pada 8 Mei 2026, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cebu – Malaysia dan Vietnam sepakat memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berimpak tinggi, termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mempercepat agenda pembangunan serantau yang lebih mampan dan berdaya saing.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut dicapai menerusi pertemuan dua hala bersama-sama rakan sejawatnya dari Vietnam, Le Minh Hung sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan.

Menurut beliau, kedua-dua negara bersetuju memperluas kerjasama dalam sektor strategik, termasuk keselamatan makanan, tenaga boleh baharu dan tadbir urus kewangan yang lebih progresif sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan ASEAN.

Malaysia turut menyambut baik pemeteraian beberapa inisiatif strategik, termasuk memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dengan ekonomi digital dan pelaksanaan projek tenaga rentas sempadan yang diyakini mampu memperkukuh integrasi ekonomi serantau, serta membuka peluang pelaburan baharu.

YAB Dato’ Seri Anwar berkata, hubungan Malaysia–Vietnam kini dipacu menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif yang menjadi satu-satunya bentuk kerjasama sedemikian antara Malaysia dengan negara anggota ASEAN yang lain, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan dan hubungan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu terus berfungsi sebagai platform kerjasama yang berasaskan keyakinan, kemampanan dan kemajuan bersama, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran geopolitik semasa.

Menurutnya, kekuatan rantau ASEAN bergantung pada kesediaan negara anggota memperkukuh jaringan ekonomi, pendidikan, teknologi dan kesejahteraan rakyat secara kolektif bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Pertemuan tersebut juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperluas kerjasama serantau dalam bidang transformasi digital dan teknologi tinggi selaras dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai hab ekonomi digital dan inovasi di Asia Tenggara.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi