Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara dan ekonomi negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bekalan global.
Usaha tersebut dizahirkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Menteri Sumber Manusia bersama-sama Exco-Exco Sumber Manusia Negeri (MEX KESUMA) yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Mesyuarat itu menjadi platform penting untuk menyelaras pelaksanaan dasar antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri secara lebih berkesan.
Dalam mesyuarat berkenaan, beliau menekankan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja melalui penguasaan kemahiran baharu, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, selain memperluas jaringan perlindungan sosial bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Empat fokus utama turut dibentangkan, iaitu pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 bagi melindungi kebajikan pekerja gig, inisiatif reformasi undang-undang menerusi pindaan akta berkaitan dengannya, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 95.5 peratus, serta pengenalan Skim Lindung 24 Jam oleh PERKESO bagi meningkatkan perlindungan pekerja.
KESUMA turut menegaskan kepentingan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan secara menyeluruh sehingga peringkat akar umbi, sekali gus memberikan manfaat langsung kepada golongan pekerja di seluruh negara.