Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia terus memperkukuh kerjasama keterjaminan makanan serantau menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) yang diadakan secara maya pada 29 April 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat dan kesannya terhadap bekalan makanan di rantau ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin berkata, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh daya tahan bekalan makanan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan kerjasama serantau bagi mendepani ketidaktentuan global yang boleh menjejaskan sektor pertanian, perdagangan dan input makanan asas.

Menurut beliau, Malaysia menyokong usaha bersama ASEAN untuk mempertingkatkan kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti dan pelaburan dalam sistem pertanian yang mampan, inklusif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim, serta menggalakkan amalan jana semula dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, penyelarasan rentas sektor yang lebih kukuh dalam ASEAN amat penting bagi menangani cabaran yang saling berkait melibatkan keterjaminan tenaga, bekalan baja, logistik dan keterjaminan makanan secara menyeluruh dan tersusun.

Tambah beliau, mesyuarat itu turut menetapkan Sekretariat ASEAN sebagai pusat penyelarasan untuk berhubung dengan pihak berkepentingan, rakan dialog dan kumpulan kerja sektor berkaitan dengannya bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Malaysia juga berkongsi langkah kesiapsiagaan domestik dalam mengurus risiko luaran, termasuk pengaktifan mekanisme pengurusan krisis, mesyuarat pemantauan mingguan antara kementerian dan penyelarasan rapat yang diterajui Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil dan tekanan inflasi dapat dikawal.

Komoditi utama yang diberikan perhatian merangkumi ayam dan telur, sayur-sayuran terpilih, hasil perikanan dan beras, manakala faktor risiko seperti bekalan diesel, ketersediaan baja dan kos makanan ternakan terus dipantau dari semasa ke semasa.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan perancangan proaktif, intervensi bersasar dan memperkukuh kerjasama ASEAN bagi menjamin keterjaminan makanan serantau, melindungi rantaian bekalan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat ASEAN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi