Diterbitkan pada 14 April 2026, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama acara perniagaan pada peringkat global menerusi penyertaan dalam The Meetings Show Asia Pacific (TMS APAC) 2026 yang berlangsung di Sands Expo & Convention Centre.

Penyertaan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk memperluas promosi sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) dalam pasaran antarabangsa.

Melalui platform berprestij tersebut, Malaysia berpeluang menjalinkan jaringan secara langsung dengan pembuat keputusan utama industri, termasuk perancang mesyuarat antarabangsa, wakil persatuan dan pembeli korporat, sekali gus membuka lebih banyak peluang penganjuran acara berskala besar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, YBrs. Tan Mei Phing berkata, penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam mengukuhkan kehadiran global dalam industri acara perniagaan.

Menurut beliau, platform seperti TMS APAC membolehkan Malaysia mempamerkan keupayaan negara dalam menganjurkan acara bertaraf dunia di samping mengetengahkan hospitaliti, serta kemudahan konvensyen yang dimiliki.

Beliau berkata, pelibatan strategik bersama-sama penggiat industri turut bertujuan menjana peluang perniagaan bernilai tinggi dan membina kerjasama baharu bagi menyokong pertumbuhan mampan sektor tersebut.

Acara berkenaan dijangka menghimpunkan lebih daripada 290 pempamer global, hampir 1,800 peserta dan sekitar 600 pembeli jemputan dari lebih daripada 70 negara, menjadikannya platform penting untuk jaringan dan kerjasama industri.

Sebagai sebahagian strategi promosi, MyCEB turut melaksanakan sesi padanan perniagaan dan rangkaian bagi membuka ruang kepada pemain industri tempatan berhubung secara langsung dengan perancang acara antarabangsa.

Antara rakan industri yang turut serta termasuklah Kuala Lumpur Convention Centre, Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Marriott International Malaysia, Penang Convention & Exhibition Bureau, serta Shangri-La Kuala Lumpur.

Penyertaan kolektif ini mencerminkan kekuatan ekosistem industri acara perniagaan Malaysia yang lengkap dengan kemudahan bertaraf dunia, penginapan berkualiti dan perkhidmatan profesional yang kompetitif pada peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia dalam TMS APAC 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan negara pada peringkat global dan mempercepat pertumbuhan sektor acara perniagaan sebagai satu daripada pemacu ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi