Diterbitkan pada 13 April 2026, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan usahawan mikro di negara ini apabila Melaka merekodkan jumlah jualan melebihi RM5.5 juta hasil pelaksanaan program tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, YBhg. Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program tersebut memberikan tumpuan pada pembangunan usahawan mikro, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penyediaan latihan, bimbingan dan kemudahan pembiayaan bagi memperluas aktiviti perniagaan mereka.

Menurut beliau, Agrobank menyasarkan antara 30 usahawan hingga 50 usahawan di setiap negeri untuk menyertai program tersebut, selain menyediakan platform pengiktirafan melalui penganjuran anugerah keusahawanan.

Peserta juga diberikan latihan peningkatan kapasiti seperti pengurusan kewangan dan bimbingan berterusan melalui kaedah  bimbingan khusus dan pementoran.

Pada peringkat nasional, program AUM mencatatkan peningkatan jualan sebanyak RM38.7 juta pada tahun 2025 melibatkan kira-kira 200 usahawan mikro.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 240 peserta telah menyertai program itu dan menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh bimbingan selama setahun.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi jualan peserta, malah membuka peluang pekerjaan apabila banyak usahawan berjaya menambah antara lima pekerja hingga 10 pekerja, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Program AUM yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) merupakan inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang menggabungkan latihan berstruktur dan bimbingan secara langsung di premis perniagaan.

Modul yang ditawarkan merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran digital dan amalan pengurusan perniagaan bertaraf korporat.

Kejayaan program ini turut terserlah menerusi kisah peserta seperti Izzati Hamidah Sharil yang berjaya mengembangkan perniagaan kuih tradisional daripada operasi kecil di rumah kepada pengeluaran berskala besar, sekali gus memperluas pasaran, serta meningkatkan kapasiti pengeluaran dan tenaga kerja.

Secara keseluruhan, Agrobank kekal komited dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui pendekatan holistik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi