Diterbitkan pada 23 April 2026, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, TYT José Luis Pardo Cuerdo bagi memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam sektor pertanian antara kedua-dua negara.

Hingga Disember 2025, rekod perdagangan pertanian antara Malaysia dengan Sepanyol mencatatkan nilai sebanyak RM2.73 bilion yang merangkumi eksport produk pertanian Malaysia seperti kopi, koko, teh dan rempah-ratus.

Pertemuan tersebut turut menyaksikan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk terus meneroka peluang pasaran baharu bagi produk pertanian tempatan demi meningkatkan imbangan perdagangan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

Fokus utama perbincangan merangkumi kerjasama strategik dalam pembangunan kapasiti, pertukaran teknologi, serta kerjasama dalam bidang akuakultur dan pengurusan saliran pertanian.

Langkah ini dilihat mampu memperkukuh sektor agromakanan negara selain membuka ruang kepada pemindahan kepakaran dan inovasi yang lebih berkesan.

Dalam pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak Sepanyol untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

KPKM yang diketuai YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat delegasi Sepanyol.

Penganjuran MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan” dijangka menjadi platform penting dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, serta mempromosikan potensi sektor pertanian negara.

Yang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Sri Norazman Ayob bersama-sama pegawai kanan kementerian.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi